Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah mengadakan Kursus "Training Of Trainers" (TOT) Bahasa Melayu di sekolah agama yang dikenali sebagai "Foundation Saengthum Wittaya School" di Trang, Thailand. Program ini diadakan sempena Program Semarak Bahasa Melayu yang merupakan program tahunan hasil kerjasama strategik di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) bersama 4 buah institut pengajian tinggi di Perlis iaitu PTSS, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kangar (IPGK).

Menurut Pengarah PTSS, Dr. Mohd Zahari Ismail, "Program ini bertujuan memberi pengetahuan asas Bahasa Melayu kepada guru sekolah yang dipilih sekaligus meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Di samping itu, mereka juga didedahkan kepada kaedah pengajaran yang pelbagai dalam pengajaran Bahasa Melayu untuk diguna pakai di dalam pengajaran mereka di sekolah masing-masing sekembali daripada program ini". Katanya lagi, Program Semarak Bahasa Melayu ini memfokuskan kepada pelestarian bidang pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam, sejajar dengan Falsafah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Menurut beliau lagi, ini merupakan kali pertama PTSS telah diberikan kepercayaan untuk turut serta dalam menjayakan program ilmiah ini. Sebanyak 4 buah sekolah telah terlibat dalam Program Semarak Bahasa Melayu ini dengan 4 buah institusi pengajian tinggi yang berbeza bertanggungjawab melaksanakannya. Beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tenaga pengajar dari PTSS, UNIMAP, UiTM dan IPGK di atas penglibatan serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Semarak Bahasa Melayu di Dewan Thanarom 3, Hotel Thumrin Thana,Trang,Thailand. DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berangkat merasmikan penutupan majlis ini.

Seramai 6 orang pensyarah PTSS terlibat dalam kursus TOT ini. TOT ini melibatkan peserta yang terdiri 17 orang guru agama di "Foundation Saengthum Wittaya School", Trang, Thailand. Menurut Pegawai Pengantarabangsaan PTSS, Azlida Ahmad, "Guru-guru agama ini diajar tentang asas Bahasa Melayu dari segi penulisan, bacaan, percakapan dan membudayakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan kehidupan seharian." Menurut beliau lagi, objektif utama ialah menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu di selatan Thailand dan ianya perlu bermula dengan sistem pengajaran Bahasa Melayu yang betul dan guru-guru di sekolah ini diajar dan dilatih bagi membolehkan pengetahuan ini disampaikan kepada pelajar-pelajar mereka. Pihak PTSS akan datang ke sekolah ini dari semasa ke semasa untuk membantu guru-guru agama di sekolah ini demi memartabatkan Bahasa Melayu di selatan Thailand.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my