Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul 2 pingat emas dan 1 pingat gangsa dalam Innovative Research, Invention and Application Exhibition 2019 (I-RIA) yang telah diadakan di Dewan Mua’dzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah baru-baru ini.

Pasukan PTSS yang pertama terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) yang membentangkan tajuk "Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality (AR)". Pembentangan telah dibuat oleh Suveerak A/L Surapon bersama Willy A/L Tian, Nadia Haziera Abd Majid dan Premkumar A/L Pushparajan. Kumpulan ini diselia oleh pensyarah mereka iaitu Mohd Zulfabli bin Hasan.

"Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality" ini adalah satu projek berbentuk penghasilan poster menggunakan teknologi Augmented Reality selari dengan pendidikan 4.0. Projek ini berkait rapat dengan salah satu subjek utama Diploma Kejuruteraan Mekanikal iaitu subjek Mechanical Workshop Practice 1 yang terdiri daripada 3 bengkel utama iaitu bengkel kimpalan, pemesinan dan gegas. Projek ini dihasilkan untuk membantu pelajar semester 1 yang belum dapat menguasai asas ilmu kejuruteraan mekanikal, bagi membolehkan mereka menguasai asas bengkel-bengkel tersebut dengan kaedah pembelajaran yang menarik (fun learning) dan ini dapat menarik minat mereka untuk mempelajari subjek tersebut dengan lebih berfokus.

Projek ini juga telah menghasilkan poster pada setiap bengkel pembelajaran dan apabila pelajar mengimbas (scan) pada bahagian-bahagian tertentu, video akan memaparkan maklumat untuk pengendalian mesin tertentu. Secara tidak langsung, projek ini menjadi satu panduan bagi para pelajar menghasilkan projek untuk bengkel kimpalan, mesin dan gegas.

Istimewanya projek ini selain daripada menggunakan pendekatan Augmented Reality, semua video yang ada dirakam oleh ahli kumpulan ini sendiri untuk kesemua pembelajaran di bengkel-bengkel. Projek ini juga telah disebar luas di Politeknik Zon Utara iaitu Politeknik Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Jitra, Kedah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah dan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan mendapat respon yang sangat positif. Selain itu, Kolej Vokasional Kangar, Perlis juga telah didedahkan dengan penggunaan poster ini.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling bermakna kerana daripada 228 penyertaan dari seluruh Malaysia, pelajar JKM berjaya membawa balik 1 pingat emas daripada 2 pingat emas yang dirangkul PTSS."

Pingat emas ke 2 PTSS diperoleh daripada penyertaan seorang pensyarah iaitu Ida Rohayu Mohd Romli dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, PTSS dengan projek bertajuk "Portable Water Filtration System For Cooker Hood". Projek ini merupakan satu projek berkenaan sistem penapisan air mudah alih bagi hud memasak yang merupakan produk inovasi yang dicipta bertujuan merawat asap memasak sebelum dibebaskan ke persekitaran. Projek ini turut berperanan memberikan pendedahan amalan memasak yang mesra persekitaran dan berupaya mendidik pengendali makanan mahupun orang awam akan bahaya pembebasan bahan zarah (pm 2.5) terhadap tahap kesihatan dan alam sekitar. Projek ini memberikan impak terhadap kualiti udara terutama dalam pengurangan pembebasan bahan zarah (pm 2.5) daripada aktiviti memasak.

Menurut Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Noorlili Juwita Arshad, "Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama yang paling bermakna kepada jabatan ini kerana pensyarah JPH berjaya membawa balik 1 pingat emas daripada 2 pingat emas yang dirangkul PTSS dan mengharumkan nama PTSS."

Pingat gangsa pula dimenangi oleh pensyarah PTSS, Azmiah Aziz dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komputer (JTMK) dengan projeknya yang bertajuk "Smart Laundry PTSS".

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pelajar dan pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pelajar dan pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul 2 pingat emas dan 1 gangsa."

I-RIA 2019 diadakan oleh pihak UUM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dan ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pembelajaran dan pengajaran yang telah terpilih. Kira-kira 228 institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, sekolah, jabatan kerajaan dan pihak swasta dari seluruh Malaysia telah menyertai I-RIA 2019 yang diadakan ini.

Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Massudi Mahmuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM ,Sintok, Kedah pada Majlis Penutup I-RIA 2019.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my