Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) mengeratkan tali silaturahim sesama warga dan jabatan dan agensi kerajaan yang berdekatan dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PTSS baru-baru ini. Sambutan ini dimeriahkan dengan kehadiran hampir 600 tetamu yang berlangsung di Dewan Harumanis, PTSS.

Majlis yang bermula pada jam 11.00 pagi itu merupakan anjuran Kelab Kebajikan Kakitangan,PTSS. Sebanyak 20 buah gerai dengan pelbagai juadah bertemakan makanan tradisi Hari Raya serta kuih-muih dihidangkan buat para tetamu. Menurut Pengerusi Kelab, Dr Jailani Abdul Kadir, gerai-gerai yang disediakan ini menyajikan menu yang berbeza dan diterajui oleh pelbagai jabatan-jabatan yang ada di PTSS.

"Setiap tahun sememangnya setiap jabatan kita pastikan akan berpeluang menyajikan menu yang berbeza dari tahun sebelumnya kerana di situ nanti kita akan dapat rasai keunikan rasa dan persembahan hiasan gerai yang mereka tonjolkan. Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif kakitangan setiap jabatan ini yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik kerana kita turut mengadakan pertandingan gerai tercantik untuk gerai-gerai ini," katanya.

Antara juadah tradisi yang disediakan adalah lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, roti jala, laksa dan mi kari.Menu istimewa yang mendapat sambutan ialah nasi daging, satay, lontong dan pulut mempelam harumanis.

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan dan warga PTSS dalam sambutan hari ini amat membanggakan. "Saya berpeluang untuk melawat setiap gerai yang terdapat di sini dan amat memuji kesungguhan para kakitangan menjadikan majlis hari ini bermakna. Saya turut gembira kerana kanak-kanak Tabika Kemas dan Taska PTSS turut dibawa bersama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di PTSS. Ini kelainan baharu yang ditonjolkan oleh penganjur pada tahun ini," katanya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pertandingan gerai tercantik yang mana tempat pertama dimenangi oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, tempat kedua oleh Jabatan Pengajian Am dan tempat ketiga ialah Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my