Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul pingat emas dalam International Students Affairs Invention, Innovation and Design Competition (ISAIID) 2019 yang telah diadakan bertempat di Universiti Teknologi MARA, Merbok, Kedah baru-baru ini di Dewan Perdana kampus berkenaan.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal melalui kumpulan Team Engineering TECH yang membentangkan tajuk "The Development of Interractive Learning Method Through Augmented Reality In Engineering Drawing: Cybergogy and Heutagogy Approach". Pembentangan telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama Nurisah Wahab, Sahrijan Ahmad, Nur Ismalina Haris dan Hashimi Mat Lazim.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling manis kerana PTSS merupakan satu-satunya dari kumpulan Politeknik Malaysia yang bertanding dan telah menang pingat emas setelah bertanding dengan pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia dan juga dari luar negara."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul pingat emas."

ISAIID diadakan oleh pihak UiTM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pengajaran dan pembelajaran yang telah terpilih. Kira-kira 200 institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta dari dalam dan juga luar negara serta dari sekolah dari seluruh Malaysia telah menyertai ISAIID 2019 yang diadakan ini.

Pingat Emas, sijil dan wang tunai RM100.00 berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr Azizan Abdullah. Turut hadir bersama dalam penyampaian hadiah ialah Dr Wan Irham Ishak, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Negeri Kedah.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my