Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul pingat emas dalam International Learning Innovation Competition 2019 (PIP 2019) yang telah diadakan bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah baru-baru ini di Dewan Muadzam Shah, kampus berkenaan.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal melalui kumpulan Enginius telah membentangkan tajuk Integrated Learning Through Modish Smart Key Box. Pembentangan  telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama Nurisah Wahab, Sahrijan Ahmad, Nur Ismalina Haris, Mohammad Najib Ramli, Masniza Yusof, Nazera Dan, Nur Faradiana Rusli dan Mohd Hanafiah Mat Jamlus.

Integrated Learning Through Modish Smart Key Box ini merupakan satu inovasi yang berupa satu kotak penyimpanan kunci bersistem dan juga merupakan model dan prototaip untuk pelajar semester akhir jadikan ia sebagai satu panduan dalam menghasilkan projek akhir dalam kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Selain daripada berfungsi menyelesaikan masalah kunci di jabatan, produk ini memberi inspirasi kepada mereka dalam menghasilkan produk yang  selari dengan revolusi industri 4.0.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini menjadi bukti pensyarah PTSS mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti lain di Malaysia dan juga dari luar negara."

Di samping itu, PTSS juga turut memperolehi pingat perak dari penyertaan pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Saiful Mohamed Shuib yang berkolaborasi dengan pensyarah dari Politeknik Hulu Terengganu dan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan dengan inovasi bertajuk Crowd Teaching Source for Travel and Tours Course dan juga pingat gangsa melalui Saiful Mohamed Shuib juga berkolaborasi bersama pensyarah Universiti Malaysia Kelantan dengan inovasi bertajuk Shifting from “Classroom Management” to “Classroom Leadership”.

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran dan saya mengucapkan terima kasih kepada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS kerana beroleh kemenangan pingat emas dan juga pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti kerana berjaya juga mendapat pingat perak dan gangsa." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS."

PIP 2019 diadakan oleh pihak UUM merupakan satu acara tahunan yang diadakan oleh Pusat Pembelajaran dan Pengajaran UUM yang melibatkan ahli akademik dan pelajar dari seluruh dunia. Pertandingan ini menyediakan platform kepada semua pelajar dan ahli akademik untuk berkongsi inovasi dan kreativiti dalam pembelajaran dan pengajaran. Dalam masa yang sama, pertandingan ini merupakan satu platform untuk mengiktiraf inovasi dan kreativiti yang terbaik yang berjaya dihasilkan oleh mereka. Seramai 300 peserta telah menyertai pertandingan yang diadakan ini.

Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Prof. Dr Husna Awang Hashim dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden. Turut hadir bersama dalam penyampaian pingat dan sijil ialah Prof. Dato' Dr Norzaini Azman, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my