Arau - Puteri Farah Diba Natasha Zakaria, pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis memenangi pingat emas dalam Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 yang diadakan baru-baru ini di mana PTSS menjadi tuan rumah sukan berkenaan. Pelajar PTSS ini menyumbang pingat emas melalui kategori middleweight.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan, berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 dan merupakan satu sejarah kerana pertama kalinya pelajar PTSS memenangi pingat emas dan mengharumkan nama PTSS dan juga Negeri Perlis. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai." Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Kontigen PTSS, Bustamam Bonari dan juga jurulatih beliau, Loeonard San Thu dari Majlis Sukan Negeri Perlis kerana dengan usaha mereka PTSS berjaya memenangi pingat emas dalam karnival sukan yang diadakan ini.

Ketua Kontigen PTSS, Bustamam Bonari pula berkata, "Kejayaan PTSS memenangi pingat emas dalam acara ini adalah amat bermakna kepada PTSS kerana inilah julung julung kalinya pasukan PTSS berjaya membawa pulang emas dalam karnival ini."

Puteri Farah Diba Natasha ketika ditemubual berkata, "Saya tidak menyangka akan memperolehi pingat emas dalam karnival sukan ini. Ibubapa dan rakan-rakan serta jurulatih sering memberi sokongan kepada saya hinggalah saya berjaya dan mereka sering menasihati saya jangan mengalah dan perlu mempunyai semangat yang kental untuk berjaya dalam sesuatu kejohanan dan pertandingan yang disertai."

Puteri Farah Diba Natasha merupakan pelajar PTSS dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat Digital ini pernah memenangi beberapa pingat dalam di dalam dan juga di luar negara. Antaranya memenangi pingat emas dalam National Senior Taekwondo Championship 2019, pingat emas dalam 2nd National Circuit Taekwondo dan pingat gangsa dalam 14th Asean Taekwondo Championship di Manila, Filipina. Beliau juga telah terpilih untuk bertanding dalam Sea Games 2019.

Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 adalah anjuran bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bersama dengan PTSS. Penganjuran karnival ini melibatkan dua acara sukan utama iaitu Taekwondo dan Silat Olahraga. Sebanyak 16 kategori acara sukan Taekwondo dan 18 kategori acara sukan Silat Olahraga dipertandingkan melibatkan penyertaan 18 politeknik dan 1 kolej komuniti.

DYTM Tuanku Raja Muda telah berangkat mencemar duli merasmikan penutupan karnival sukan ini juga telah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my