Wan Muhammad Hafizunif bin Wan Roslan telah dilahirkan pekak dan bisu. Walau bagaimanapun, kekurangan itu tidak sedikit pun menjadi alasan kepada pemuda berusia 24 tahun ini untuk mengejar cita-citanya berjaya dalam bidang kulinari. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis telah mengumumkan Wan Muhammad Hafizunif bin Wan Roslan sebagai penerima Anugerah OKU Harapan dalam Program Sambutan Hari Warga Emas dan OKU 2020. Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis telah mengurniakan anugerah tersebut kepada beliau disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis dan Encik Abdul Malek bin Hassan, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Beliau memulakan pengajian di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Perlis dan seterusnya mengikuti pengajian menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang. Bagi memastikan beliau berada atas landasan yang betul menuju cita-citanya, Wan Muhammad Hafizunif memilih untuk menyambung pengajian di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dalam program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering pada tahun 2017.

Sepanjang pengajiannya di PTSS, tenaga pengajar telah dapat menghidu bakat dan kemampuannya dalam bidang bakeri. Oleh itu, pelbagai pertandingan telah disertainya. Antara pertandingan yang disertai dan dimenanginya ialah, Penang International Halal Chef Challenge pada setiap tahun sejak tahun 2017. Pada tahun itu, beliau dianugerahkan Diploma bagi kategori Malay Traditional Ketupat Rendang. Tahun kedua menyertainya pada 2018, beliau membawa pulang Pingat Perak dalam kategori Dress 2 Tier Cake. Pingat Gangsa dalam kategori yang sama diraih dalam tahun 2019 pertandingan tersebut. Bagi peringkat kebangsaan, pemuda ini juga menyertai National Abilympics 2018. Dalam pertandingan ini, beliau telah diumumkan sebagai pemenang Pingat Emas. Kejayaan-kejayaan besar beliau mengharumkan nama PTSS telah melayakkan beliau untuk menerima Anugerah Khas Kemahiran di Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin pada tahun 2019 dimana beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya. Beliau juga telah dicalonkan untuk menyertai 10th International Abilympics Russia 2021 dalam kategori Hiasan Kek. Doa dan harapan semua akan mengiringi beliau ke peringkat antarabangsa ini.

Tahun lalu juga, anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini telah berjaya membuka perniagaannya sendiri, Bakery WMH Enterprise berhampiran rumahnya di Felda Mata Ayer, Perlis. Sokongan kuat keluarga dan bimbingan tenaga pengajar di PTSS telah mendorong beliau untuk kekal bersemangat menghasilkan produk-produk yang menepati citarasa penggemar roti, kek dan pelbagai biskut. Bermula dengan menghantar produknya ke kedai-kedai sekitar dan menerima tempahan kek, beliau kini sedang giat berusaha untuk memajukan perniagaannya. Beliau turut mengikuti bengkel-bengkel Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan selain kelas penghasilan pastri dan lain-lain yang dianjurkan oleh PTSS. Keazaman beliau ini membuktikan beliau mampu pergi lebih jauh. Oleh itu, faktor ini memudahkan beliau dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perlis.

Keupayaan beliau mungkin terbatas dengan kekurangan yang ada. Tetapi baginya, tiada apa yang kurang dan beliau mampu mencapai cita-citanya. Ketika ini, seluruh dunia berhadapan pandemik global COVID-19. Wan Mohammad Hafizunif masih menerima tempahan secara dalam talian melalui laman sosialnya.

Rata-rata tenaga pengajar berpendapat beliau seorang yang berkeyakinan tinggi, memiliki daya kepimpinan, dan sangat positif. Sifat beliau secara tidak langsung memancarkan aura sebagai seseorang yang boleh menjadi contoh OKU terbaik kepada rakan – rakan malah insan yang senasib dengannya di luar sana.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my