Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) bagi tahun 2018 diingatkan agar bersedia menunaikan tanggungjawab dan amanah mereka terutama dalam menjaga kebajikan penuntut di kampus itu. Pengarah PTSS, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, sebagai sebuah organisasi yang telah dipilih oleh pelajar, mereka sewajarnya sentiasa prihatin dan mengambil kira keperluan pelajar dalam usaha menyediakan suasana kondusif di pusat pengajian tinggi ini. Jelasnya, MPP merupakan penghubung antara pengurusan politeknik dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat khususnya melibatkan permasalahan yang dihadapi mereka.

"Anda semua telah dipilih oleh pelajar sebagai pemimpin dan selaku pemimpin anda perlu menjalankan tugas dan menghargai undi yang diberikan mereka. Dengan kuasa yang ada, anda perlu mengambil tahu tentang mereka dan maklumkan pada kita. Jika mampu kita akan penuhi keperluan pelajar," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan di Bilik Mesyuarat Persidangan PTSS dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 30 anggota Exco yang diketuai Yang Dipertua MPP PTSS, Mohd Kharul Fikri Ibrahim menerima watikah pentauliahan sebagai Exco MPP PTSS yang disampaikan oleh Dr Mohd Zahari Ismail. Dalam pada itu, Dr Mohd Zahari turut meminta MPP PTSS menumpukan penganjuran aktiviti berimpak tinggi yang mampu memberi kesan untuk tempoh jangka masa panjang. Jelasnya, langkah tersebut perlu agar para pelajar tidak terlalu terbeban dengan pelbagai program yang diadakan secara bermusim dan kurang impak.

"Saya mahu para pelajar memikirkan aktiviti yang bersifat jangka masa panjang, misalnya adakan program melibatkan satu komuniti untuk tempoh beberapa tahun kerana ia lebih mudah untuk kita lihat impaknya berbanding program yang dibuat secara bermusim. Di samping itu pihak MPP perlu juga mengadakan pembangunan dan penghayatan aktiviti di Pusat Islam PTSS agar dapat menggalakkan para pelajar menyemarakkan Pusat Islam setiap masa. Contoh lain, kalau kita adakan acara sukan, saya lihat ia lebih kepada bersuka ria namun jika pelajar tumpu pada penubuhan kelab beberapa sukan yang kita ada kekuatan, kita boleh lahirkan ramai atlet berbakat besar untuk mewakili negara pada masa depan," katanya.

Turut hadir bersama dalam majlis yang diadakan ialah Timbalan Pengarah Akademik, Roseliza Dato’ Shaari, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Jamazuki Othman dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Ruslan Salikin.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my