Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul 2 emas dalam Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (K-Novasi ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2019 yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi, Selangor.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah memenangi emas pertama melalui kumpulan Enginius yang membentangkan tajuk "Meningkatkan Kefahaman dan Daya Ingatan Pelajar Terhadap Konsep dan Hukum Dalam Sains Kejuruteraan Menggunakan Teknik Kad Permainan Imersif". Pembentangan telah dibuat oleh Masniza Yusof bersama dengan ahli kumpulan, Nur Ismalina Haris, Mohd Zulfabli Hasan, Nik Zilawati Nik Ab Rahman, Khairul Fazizul Mat Dris dan Mohd Zairunizam Umar.

Manakala emas kedua PTSS diperolehi melalui kumpulan Engineering TECH juga terdiri daripada pensyarah PTSS yang membentangkan tajuk "Pendekatan Heutagogy Dengan Berbantukan Teknologi Augmented Reality Dalam Pembelajaran Lukisan Kejuruteraan". Pembentangan telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama ahli kumpulan Sahrijan Ahmad, Nurisah Wahab, Hashimi Mat Lazim dan Nur Ismalina Haris.

Menurut Ketua Jabatan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Ini adalah kali pertama pihak jabatan menghantar 2 pasukan untuk menyertai karnival K-Novasi UKM. Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling manis kerana pensyarah jabatan ini telah memenangi 2 emas setelah bertanding dengan pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada Politeknik Malaysia kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul 2 anugerah emas."

K-Novasi ini diadakan oleh pihak UKM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pengajaran dan pembelajaran yang telah terpilih. Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan pensyarah dari sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT dari seluruh Malaysia telah menyertai karnival yang diadakan ini.

Anugerah Emas berkenaan telah disampaikan oleh Naib Canselor UKM, Profesor Ir. Dr Hamdi Abd Shukor.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my