KOLEJ KEDIAMAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin menyediakan tempat penginapan (Kolej Kediaman-Asrama) untuk kemudahan mahasiswa. Terdapat empat blok Kolej Kediaman Siswa dan enam blok Kolej Kediaman Siswi disediakan. Setiap blok boleh menempatkan seramai 360 orang mahasiswa. Ini bermaksud seramai 3,600 orang mahasiswa boleh menduduki Kolej Kediaman dalam satu-satu masa. Sebuah kefeteria yang terdiri daripada lapan buah gerai yang berasingan dibina dalam kawasan Kolej Kediaman.

Setiap blok Kolej Kediaman dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik dobi, bilik rekreasi dalaman, pantri, surau dan sebagainya. Terdapat dua jenis bilik iaitu bilik yang menempatkan empat orang mahasiswa dan bilik yang menempatkan dua orang mahasiswa. Setiap mahasiswa dibekalkan dengan katil, tilam, meja belajar dan almari pakaian. Setiap penghuni Kolej Kediaman perlulah mematuhi peraturan-peraturan Kolej Kediaman yang telah ditetapkan. Peraturan ini disediakan untuk menjaga kemaslahatan hidup mahasiswa di dalam kampus.

 

PERPUSTAKAAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai sebuah pusat sumber yang menyediakan bahan bacaan dan rujukan yang diperlukan oleh mahasiswa. Bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal dan sebagainya boleh digunakan oleh mahasiswa dalam persekitaran yang berhawa dingin serta kondusif. Waktu operasinya dilanjutkan pada musim peperiksaan.

 

PUSAT ISLAM

Sebuah Pusat Islam terdapat berhampiran dengan asrama bagi memudahkan mahasiswa mengerjakan solat berjemaah serta melakukan aktiviti-aktiviti kerohanian lain yang seumpamanya. Pusat Islam ini mempunyai ruang sembahyang yang boleh memuatkan 1,500 orang jemaah. Setiap minggu, Pusat Islam ini digunakan untuk solat Jumaat. Selain daripada kuliah Maghrib oleh pensyarah dalaman, penceramah dari luar juga sering dijemput.

 

DEWAN SERBAGUNA DAN DEWAN KULIAH

Sebuah Dewan Serbaguna yang dikenali sebagai Dewan Harumanis dibina berhampiran dengan Bangunan Pentadbiran. Dewan ini dianggarkan berupaya menempatkan lebih 2,000 orang bagi sesuatu majlis atau aktiviti. Dewan ini digunakan bagi pelbagai aktiviti seperti Majlis Suai Kenal mahasiswa baru, konvokesyen, taklimat mahasiswa dan sebagainya. Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin juga mempunyai sebuah Dewan Kuliah Utama yang boleh memuatkan 400 orang dan dua Dewan Kuliah kecil yang mempunyai kapasiti 200 orang setiap satu. Dewan Kuliah ini digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran, taklimat serta aktiviti-aktiviti lain seumpamanya.

 

KEMUDAHAN SUKAN DAN REKREASI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai sebuah Kompleks Sukan Tertutup. Terdapat dua gelanggang skuash, gimnasium dan gelanggang badminton di dalam kompleks ini. Berhampiran dengan kompleks ini terdapat gelanggang tenis, bola tampar, sepak takraw, bola keranjang, futsal dan petanque. Gelanggang ini terletak bersebelahan dengan padang utama yang mengandungi padang bola sepak, hoki, ragbi serta trek 400 meter.

Selain daripada digunakan untuk aktiviti berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, tempat ini juga digunakan untuk aktiviti sukan peringkat kebangsaan seperti SUKMA, Sukan Politeknik dan sebagainya. Sebuah tasik berhampiran padang boleh digunakan untuk aktiviti air seperti berkayak. Pertandingan memancing juga pernah dijalankan di tasik ini semasa Pesta Konvo. Trek jogging juga disediakan di sekeliling padang permainan.

 

HOTEL, KOLAM RENANG DAN BILIK SEMINAR

Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang menjalankan kursus Pengurusan Hotel dan Katering mempunyai sebuah hotel kecil (inn) yang terdiri daripada 50 buah bilik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kursus tersebut. Hotel ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti hotel swasta yang setaraf dengannya termasuk kolam renang, bilik seminar dan dewan jamuan (ballroom). Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan kemudahan di atas bolehlah menghubungi pihak Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

 

BENGKEL / MAKMAL

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai pelbagai bengkel dan makmal bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus yang ditawarkan oleh setiap jabatan. Setiap jabatan akademik mempunyai pelbagai bengkel dan makmal masing-masing, bersesuaian dengan kursus-kursus yang ditawarkan. Pihak luar ingin menggunakan mana-mana kemudahan yang ada boleh menghubungi pihak politeknik.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my