Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) mula beroperasi di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra, Kedah pada 16 Mei 2002 dan kemudian berpindah ke kampus tetap di Pauh Putra, Arau, Perlis pada 15 Jun 2003. Matlamat penubuhannya adalah untuk mendidik dan melahirkan golongan separa profesional selaras dengan dasar pembangunan sumber manusia negara, mewujudkan peluang kepada rakyat setempat menyambung pelajaran dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknikal, kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengajian perniagaan di peringkat diploma dan sijil, menyumbang kepada pembangunan kawasan desa serta menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan ekonomi dan fizikal masa hadapan bagi kawasan sekitar.

PTSS dibangunkan di atas kawasan seluas 56 hektar di Mukim Kurung Anai, Arau, Perlis yang asalnya merupakan ladang getah pekebun kecil yang diuruskan oleh FELCRA dengan kedudukan yang amat strategik yang mana bandar Arau terletak 9 km ke barat dan pekan Changlun serta Lebuhraya PLUS terletak 11 km ke timur. Dibina pada tahun 2001 dan disiapkan dalam tahun 2003 dengan kos pembinaan sebanyak RM242,500,000.00, PTSS mempunyai kapasiti pengisian pelajar seramai 3,600 orang. Sesi pengambilan pelajar pertamanya ialah pada Sesi Julai 2004. PTSS dahulunya dikenali dengan nama Politeknik Perlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis yang juga Yang di-Pertuan Agong yang ke-12 ketika itu dengan nama PTSS pada 22 Mei 2006. PTSS di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai enam jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Jabatan-jabatan ini disokong oleh dua jabatan sokongan iaitu Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, dan Jabatan Pengajian Am. Jabatan dan unit lain yang terlibat secara langsung di dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah Jabatan Sukan, Kokurikulum, Kebudayan dan Warisan, Unit Perhubungan dan Latihan Industri, Unit Peperiksaan, Unit Jaminan Kualiti, Unit Penyelidikan, Inovasi dan Pengkormesilan, dan Unit CISEC. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Unit Pengurusan Psikologi, Pusat Data dan Teknologi Maklumat, Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan, Unit Pusat Sumber, Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Unit Pembangunan Instruksional dan Multimedia, Unit Keusahawanan, Unit Kediaman Pelajar, Unit Komunikasi Korporat, dan Unit Pentadbiran, Perkhidmatan dan Kewangan juga berperanan penting di dalam membantu dan memberi sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di PTSS. PTSS menawarkan program diploma, pra diploma dan sijil kemahiran kepada semua Warganegara Malaysia yang berkelayakan.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my