KEBOLEHPASARAN 90 PERATUS GRADUAN POLITEKNIK - Menarik Minat Pelajar Memohon Politeknik

Disediakan oleh: SABA #negaraku

"Kebolehpasaran pelajar Politeknik melepasi 90 peratus pada tahun 2016 merupakan antara faktor Politeknik menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam melanjutkan pelajaran kerana skil dan kemahiran merupakan teknik pembelajaran yang utama bagi keperluan industri kepada pelajar di masa hadapan", Dr Mohd Zahari Ismail, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Minggu Haluan Siswa Sesi Jun 2017 (MIHAS) yang berlangsung di Dewan Harumanis, PTSS baru-baru ini.

"Misi dan visi Politeknik adalah untuk menjadi institusi TVET dan melahirkan graduan yang seimbang dari segi teknikal, teori, pengetahuan dan kemahiran, serta melahirkan mahasiswa berprestasi unggul yang mampu menjadi pewaris negara di masa hadapan. Di Politeknik, pelajar akan diajar dari segi teori dan praktikal untuk dipraktikkan di luar. Pelajar harus sedar dengan dunia luar yang penuh dengan cabaran dan perlu dihadapi oleh mahasiswa dan mahasiswi sekalian selaras dengan negara maju 2020," katanya dalam ucapan penutup beliau dalam majlis berkenaan.

Seramai 826 penuntut memilih untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis bagi sesi Jun 2017 daripada 1,105 tempat yang ditawarkan.

Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Ruslan Salikin berkata, "Penuntut diploma di PTSS boleh mengikuti 16 program yang ditawarkan daripada 6 jabatan iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, dan Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual".

Menurut Mohd Ruslan lagi, "Kepada calon-calon yang masih lagi berminat untuk memasuki politeknik, mereka masih berpeluang membuat rayuan untuk kemasukan Sesi Jun 2017 bagi program seperti Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Diploma Elektronik (Komunikasi) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Optoelektronik)". Katanya lagi, "Rayuan boleh dibuat melalui Portal Pengambilan Pelajar Politeknik, www.politeknik.edu.my sebelum 3 Julai 2017. Calon juga berpeluang untuk memohon bagi kemasukan Disember 2017 bagi 14 program yang ditawarkan di PTSS". Turut hadir dalam Penutup MIHAS ialah Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Jamazuki Othman dan Ahli Mesyuarat Pengurusan PTSS.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my