Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis baru-baru memperkasakan kolaborasi yang ditandatangani pada tahun lalu dengan DagangHalal plc dengan mengadakan Mesyuarat Memperkasakan Kolaborasi yang telah diadakan bersama Dagang Halal plc di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah.

Dr. Mohd Zahari dalam ucapan aluan berkata, ”Jalinan hubungan yang baik adalah sangat penting bagi memudahkan pihak industri memberikan input yang positif dalam menyumbang kepada perkembangan pendidikan. Ianya juga akan meningkatkan peluang pelajar dan tenaga pengajar dalam meningkatkan kemahiran yang sedia ada juga untuk memenuhi keperluan kehendak semasa industri”. Katanya lagi, beliau juga akan memastikan jalinan kerjasama dengan Dagang Halal plc ini berjalan berterusan dan setiap aktiviti dapat memberikan impak positif kepada pelajar, PTSS, komuniti setempat, pihak industri itu sendiri dan juga Negeri Perlis.

Menurut beliau lagi, kerjasama yang dirancang bersama DagangHalal plc ialah untuk menubuhkan Pusat Latihan Halal yang diktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),memberi latihan dan mendapatkan pentaulihan kepada tenaga pengajar PTSS sebagai nilai tambah kepada kepakaran yang mereka ada. Di samping itu juga pihak PTSS akan bekerjasama dengan Dagang Halal plc untuk pengujian alat yang dinamakan “Air Reformer” di PTSS sebagai salah satu permulaan untuk kajian Industri 4.0 yang akan diselia oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS.

Pengerusi DagangHalal plc, Datuk Muhadzir Mohd Isa berkata dalam ucapan balasnya, ”Pihak Dagang Halal plc amat mengalu-alukan usaha pemerkasaan ini, keujudan dua entiti ini sebenarnya saling lengkap melengkapi, jika kita lihat peranan politeknik itu sendiri bukan hanya terbatas dalam ruang lingkup penciptaan dan penyebaran ilmu, malah ia lebih dari itu, politeknik juga berperanan dalam memastikan graduan yang dilahirkan kelak dapat memenuhi keperlua industri”. Katanya lagi, bagi pihak industri pula, mereka melihat Politeknik sebagai sumber utama bagi memenuhi keperluan tenaga mahir yang diperlukan untuk memacu organisasi mereka agar terus kekal kompetitif untuk berhadapan dengan cabaran masa kini.

Menurut Datuk Muhadzir lagi, ”Peranan politeknik dan industri berbeza dan mempunyai skop tersendiri walaupun ada persamaannya. Pada pandangan saya, kekuatan industri adalah bergantung kepada politeknik. Kitaran hidup industri menjadi pendek sekiranya tiada sokongan penyelidikan daripada politeknik dan juga produk politeknik perlu relevan bagi memastikan setiap industri untuk terus berkembang.”

Dalam mesyuarat tersebut kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama untuk mengadakan Program Halal Eksekutif, pengujudan Pusat Latihan Halal dan pengujian "Air Reformer" di PTSS dalam jangka masa yang terdekat ini. Seramai 14 orang pegawai dan pensyarah terlibat dalam mesyuarat berkenaan. Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Akademik, Roseliza Dato’ Shaari dan Ketua Unit Cisec (Collaboration Industrial Services And Employability Centre), Amyzah Ahmad.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my