ARKIB BERITA

Sekalung tahniah kepada pasukan taekwondo Kelab Generation PTSS kerana telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan bagi Kejohanan Kebangsaan TM(WTF) National Taekwondo Interclub Championship 2019 setelah mengungguli kategori Overall Champion, Open Overall Champion, Open 16 Years Overall Champion dan Olympic Weight Overall Champion. Tahniah kepada Presiden Kelab, Encik Kamarul dan Penasihat Kelab, Encik Abdul Malek bin Hassan serta Majlis Sukan Negeri Perlis dan barisan jurulatih yang diketuai oleh staf PTSS, Encik Panneer Selvem kerana telah meletakkan PTSS pada kedudukan No. 1 dalam Malaysia.

Arau - Seorang pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, Muhammad Amirul Afiq Fazli yang telah mendapat tempat ke-11 di Asia setelah menyertai Junior Asia Siol International MTB Challenge 2019 yang telah diadakan bertempat di Bukit Siol, Kuching, Sarawak pada 23-25 Ogos 2019 baru-baru ini.

Pertandingan Asia MTB 2019 adalah pertandingan bagi pelumba MTB di kalangan negara Asia untuk mengumpul mata kelayakan bagi Persatuan Pelumba Basikal Siol, Kuching, Sarawak. Atlet dari PTSS tersebut telah mendapat tempat ke-3 dan memperoleh kedudukan ke-11 di peringkat Asia dalam kejohanan tersebut.

Ketika ditemu ramah, pemenang tempat ke-3 itu, Amirul berkata, "Saya sedikit kecewa kerana tidak mendapat tempat pertama dalam perlumbaan ini namun saya berbangga dan gembira atas pencapaian ini dan berpeluang dalam menyertai pertandingan sebegini." "Saya tidak akan berhenti setakat ini malah saya akan berusaha dengan lebih keras untuk perlumbaan yang akan datang jika berpeluang lagi," tambahnya.

Menurut Pengurus Pasukan, Mohamad Hairi Othman berkata, "Walaupun tidak mendapat Johan dalam perlumbaan ini tetapi saya sangat berbangga dengan atlet muda kelahiran PTSS ini yang berjaya memperoleh kemenangan tempat ketiga dalam perlumbaan ini." "Berdasarkan pemantauan saya mengenai kegigihan dia berlumba, saya yakin dia akan lebih berjaya dan usahanya akan lebih membuahkan hasil yang lebih baik pada perlumbaan yang akan datang," katanya.

Arau - Saiful Syazwan Abdul Razak, pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis baru-baru ini telah beroleh momentum terbaik dalam usaha meraih pingat emas menerusi Langkawi Enduro Challenge 2019 yang diadakan selama 2 hari iaitu pada 31 Ogos dan 1 September 2019 lalu di Bukit Chengkuan, Langkawi, Kedah.

Cabaran Langkawi Enduro 2019 ialah pusingan ke-2 dari Mountainbiker.my Enduro Championship (MEC) 2019. Pusingan 1 adalah Challenge Bukit 300 Enduro 2019 yang akan diadakan di Teluk Batik, Perak dan pusingan akhir akan menjadi Cabaran Lembah Bujang Enduro 2019 yang akan diadakan di Lembah Bujang, Kedah.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan, berkata, "Ini merupakan satu kebanggaan kepada PTSS kerana dapat mengharumkan nama PTSS di Malaysia. Kejayaan sebegini tentu tidak akan diperoleh tanpa usaha dan kegigihan dalam menjalankan latihan untuk berjaya dalam perlumbaan ini." Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurus pasukan, Mohamad Hairi Othman dengan usahanya PTSS berjaya memenangi  pingat emas dalam acara sukan berbasikal ini.

Saiful, pemenang pingat emas tersebut berkata, "Saya sangat gembira atas kemenangan ini, segala penat, lelah dan usaha saya diganti dengan satu kemenangan yang amat bermakna buat saya dan saya berharap agar momentum saya sebegini akan terus meningkat dan mendapat prestasi yang lebih baik bagi pusingan akhir yang bakal diadakan di Lembah Bujang nanti."

Menurut Pengurus Pasukan, Mohamad Hairi Othman ketika ditemu bual berkata, "Saya sangat bangga atas pencapaian yang digenggam oleh Saiful dengan mendapat Johan sejurus melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Usaha yang dicurahkan oleh Saiful ternyata membuahkan hasil yang memuaskan. Saya berharap agar Saiful terus maju dan memenangi perlumbaan pada pusingan yang akan datang."

Arau - "Politeknik kini dalam proses memperkasakan aktiviti kolaborasi dengan pihak industri melalui konsep "teaching factory" dengan menambahkan pembabitan industri ke dalam institusi dalam mempelbagaikan bidang. Konsep ini akan membabitkan "apprenticeship" (perintis industri), "work based learning" (pembelajaran berasaskan kerja sebenar) dan "learn and earn" (belajar dan mendapat upah)," kata Abdul Malek Hassan, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) di hadapan pelajar baru PTSS, Sesi Disember 2019.

Menurut beliau lagi, ia juga akan merangkumi "industry education centre" (pusat pendidikan industri), d imana pihak industri sendiri akan menjalankan sebahagian daripada proses mereka di premis politeknik dan pelajar politeknik dapat belajar dalam suasana industri sebenar di kampus. Katanya lagi, Politeknik Malaysia khususnya PTSS akan terus mengorak langkah untuk menjadi institusi TVET yang responsif terhadap keperluan pembangunan negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Minggu Haluan Siswa Sesi Disember 2019, PTSS di Dewan Harumanis, PTSS, baru-baru ini. Di samping itu, beliau juga turut menasihati pelajar supaya proaktif dan bersedia untuk membangunkan jati diri dengan bersedia merancang kehidupan diri sendiri setelah memasuki PTSS.

Menurut Rosnizam Kamis, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS ketika ditemui berkata, "Minggu Haluan Siswa yang diadakan ini merupakan satu minggu yang diberikan kepada mahasiswa baru PTSS untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di politeknik yang berbeza dengan alam persekolahan. Pelajar juga diberikan pelbagai maklumat mengenai kehidupan kampus yang akan mereka harungi nanti."

Noor Zarifah Nor Adzhar, pelajar baru PTSS ketika ditemui berkata, "PTSS merupakan kampus yang tenang dan cantik dan sesuai untuk saya meneruskan pelajaran di peringkat diploma dengan pembelajaran yang selesa jauh dari suasana bandar."

Menurut Amirul Aiman Roslan pula berkata, "Saya difahamkan bahawa lulusan politeknik mudah diterima untuk bekerja oleh pihak industri selepas bergraduat dan saya berasa gembira diterima belajar di PTSS kerana sememangnya menjadi cita-cita saya untuk menyambung pelajaran di politeknik."

Majlis Perasmian Penutupan Minggu Haluan Siswa PTSS bagi Sesi Disember 2019 ini disempurnakan penutupannya oleh Abdul Malek Hassan, Pengarah PTSS. Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Akademik PTSS, Roseliza Dato’ Shaari, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSS, Jamazuki Othman, Ketua-Ketua Jabatan dan Ahli Mesyuarat PTSS yang lain.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) menjadi juara dalam bidang media kreatif apabila memenangi tempat pertama bagi kategori animation, video dan digital art dalam Pertandingan Techcreavery 2019 yang telah diadakan mulai 14-15 Oktober 2019 yang berakhir baru-baru ini di Dewan Harumanis, PTSS.

PTSS memenangi tempat pertama bagi kategori animation dengan tajuk projek Lunar, kategori video dengan tajuk projek 11 angka dan kategori digital art dengan tajuk projek Teacher. PTSS juga turut memenangi tempat kedua dalam kategori animation, video, interactive media dan digital art serta tempat ketiga dalam kategori animation, interactive media dan digital art.

Menurut Mohd Noor Shahuddin, Ketua Zon Utara Politeknik Malaysia ketika merasmikan penutupan Pertandingan Techcreavery 2019, "Dalam pertandingan ini, 16 buah politeknik terlibat dan pertandingan ini suatu inisiatif untuk mengubah pendidikan teknikal dan vokasional kepada penghasil produk berteknologi tinggi dalam 2 bidang utama iaitu media kreatif dan teknologi maklumat." Katanya lagi, "Bidang media kreatif melibatkan video pendek, animasi, media interaktif dan lakaran digital. Manakala teknologi maklumat melibatkan sistem jaringan pembangunan aplikasi perisian, keselamatan maklumat dan teknologi permainan."

Mohammad Haziq Haikal Mohamad, Ketua Projek Video PTSS iaitu kumpulan yang memenangi tempat pertama dalam kategori video dengan tajuk projek 11 angka berkata, "Video ini kami telah hasilkan selama lebih kurang 3 bulan yang menceritakan tentang keburukan budaya prank dan mengenengahkan IR 4.0. Kami juga berasa bangga kerana berjaya mendapat tempat pertama kategori ini dan dalam masa yang sama menaikkan imej dan nama PTSS."

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam Techcreavery 2019 dan kemenangan pelajar dalam bidang media kreatif telah mengharumkan nama PTSS dan juga negeri Perlis. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan pensyarah kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai."

Seramai 169 orang pelajar politeknik di seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam Techcreavery 2019. Techcreavery 2019 merupakan satu pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti kepada pelajar dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan juga Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual dari seluruh Politeknik Malaysia. Objektif utama pertandingan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar secara kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk yang berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri.

Majlis Penutup Techcreavery 2019 telah diadakan di Dewan Harumanis, PTSS. Johan menerima wang tunai RM1,200.00, pingat dan sijil. Majlis disempurnakan oleh Ketua Zon Utara Politeknik Malaysia, Mohd Noor Shahuddin.

Changlun - Seramai 39 orang pelajar Diploma Pengurusan Acara, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis, Semester 5 telah menjayakan satu aktiviti kemasyarakatan yang dinamakan "Jelajah Budaya Desa" yang telah diadakan di C-Mart, Changlun, Kedah, baru-baru ini.

Acara yang mengetengahkan pelbagai aktiviti desa diadakan dalam pelbagai bentuk pertandingan seperti pertandingan permainan traditional, pertandingan membuat kerabu, pertandingan sajak, pertandingan pantun, dan pertandingan gubahan yang melibatkan masyarakat setempat serta pertandingan mewarna dan pertandingan pakaian beragam bagi kanak-kanak.

Pengarah program, Mohammad Mustaqim Mohamad Fadzlisam berkata, "Acara ini dapat memberi pendedahan kepada kami (pelajar) dalam mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari di dalam kelas. Selain itu, kami diberi tanggungjawab penuh bagi menguruskan acara ini dengan jayanya walaupun terdapat beberapa cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi sebelum acara ini berlangsung selama dua hari."

Katanya lagi, "Dengan usaha dan keingin yang tinggi, serta tunjuk ajar dari pensyarah, kami dapat melaksanakan program ini dengan jayanya. Malah, sambutan dari masyarakat sekitar amat menggalakkan."

Pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), Nur Ilyani Ramly berkata, "Program ini bertujuan mendedahkan pelajar dalam mengurus, melaksana dan menjayakan sesuatu acara selain dapat meningkatkan pengetahuan dan mengukuhkan kemahiran yang telah dipelajari."

Menurut beliau lagi, "Dengan adanya acara seperti ini, pelajar dapat menggilap kemahiran berinteraksi dengan masyarakat selain dapat mengetahui aktiviti-aktiviti desa yang semakin dilupakan."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan mengacara aktiviti seperti ini adalah satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS, sekaligus membuktikan bahawa pelajar politeknik mampu berdaya saing dalam menjalankan acara yang berimpak besar kepada masyarakat."

Katanya lagi, "Terima kasih kepada semua pelajar dan penyarah PTSS yang terlibat, berjaya menganjurkan aktiviti seperti ini, sekaligus mengharumkan nama politeknik khususnya dalam bidang acara."

Changlun - Seramai 39 orang  pelajar Kelab Study Circle daripada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis telah menyertai program "Surauku Bersih, Tamanku Ceria" di Taman Jati, Changlun baru-baru ini.

Program selama satu hari ini dianjurkan oleh pelajar semester tiga, Kelab Study Circle dengan kerjasama komuniti Taman Jati, Changlun, Kedah. Tujuan utama penganjuran program ini ialah untuk meningkatkan rasa prihatin dan penyayang sesama ahli kelab dan masyarakat Taman Jati. Setiap peserta program telah diagihkan mengikut kumpulan masing-masing dan mempunyai seorang ketua yang terdiri daripada masyarakat Taman Jati, bagi menimba pengalaman merasai cara kehidupan masyarakat yang sebenar dan melahirkan rasa keinsafan serta merapatkan ahli kelab dan masyarakat.

Di samping bergotong-royong bersama masyarakat, peserta juga berpeluang untuk merebut anugerah kumpulan yang terbaik. Kumpulan yang terbaik akan ditentukan oleh masyarakat Taman Jati. Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan seperti bergotong-royong mengemaskan kawasan dalam surau, memasak, membersihkan tandas dan tempat berwuduk, mengecat pagar, membersihkan kawasan sekeliling surau, dan mengemas stor.

Menurut Pengerusi Surau, Taman Jati, Hj. Saarani Bakar berkata, "Program gotong-royong ini adalah antara program yang mewujudkan kesan positif bagi menangani gejala-gejala sosial dalam masyarakat seperti penagihan dadah dan kecurian. Penglibatan pelajar PTSS dalam membawa masuk peserta untuk merasai aktiviti khidmat masyarakat sebenar banyak membantu meningkatkan jemaah yang hadir ke surau pada tiap waktu azan berkumandang untuk menunaikan solat berjemaah."

Ahmad Naufal Danish Sazimi, 20, pelajar PTSS berasal dari Perak berkata, "Saya sangat seronok mengikuti program ini dan saya berharap program ini dapat dilanjutkan lagi untuk masa akan datang kerana ia membolehkan saya mengenali dengan lebih dekat cara kehidupan di surau ini."

Salah seorang pelajar lain iaitu Alif Farhan Zakaria, 19 yang berasal dari Pulau Pinang pula berkata, "Saya sangat suka dapat melihat keindahan suasana surau taman ini dengan budaya penduduk yang sering mengimarah surau serta merasai kehidupan bermasyarakat dan aktiviti dijalankan ini yang amat menyeronokkan dan memberi manfaat kepada kami dan berkenalan dan bergaul dengan penduduk setempat."

Menurut Pengarah Program, Nur Anis Syazwani Azizi, "Program ini secara umum telah berjaya mencapai objektif dalam menjalinkan hubungan erat antara peserta dan komuniti setempat meskipun dalam tempoh yang singkat. Saya amat berterima kasih kepada penduduk Taman Jati, Changlun, Kedah kerana dengan kerjasama mereka program ini dapat diadakan dengan jayanya."

Menurut beliau lagi, "Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Hasminuddin Hashim pensyarah kami kerana telah banyak membantu dan memberi nasihat bagi menjayakan program yang telah diadakan ini dengan tujuan utama merapatkan ukhwah sesama masyarakat dan ahli Kelab Study Circle serta menimbulkan semangat kerjasama antara satu sama lain."

Perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh Hj. Saarani Bakar, Pengerusi Surau As-Salam, Changlun, Kedah.

Kangar - Seramai 22 orang  pelajar antarabangsa daripada Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah menyertai program "The Uncovered Ambience Of Homestay" (TUAH) di Kampung Ujung Bukit, Perlis baru-baru ini. Pelajar antarabangsa ini kebanyakan berasal dari Asia Barat, Myanmar, India, Thailand dan Indonesia.

Program selama dua hari satu malam ini dianjurkan oleh pelajar semester akhir, program Diploma Pengurusan Pelancongan dengan kerjasama komuniti Kampung Ujung Bukit, Perlis. Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Pelancongan pada 27 September 2019 yang lalu. Tujuan utama penganjuran program ini ialah untuk mendedahkan kepada pelajar ini mengenai definisi sebenar pelancongan homestay. Setiap peserta program telah diagihkan mengikut keluarga homestay masing-masing, bagi menimba pengalaman merasai cara kehidupan masyarakat desa yang sebenar.

Di samping tinggal bersama keluarga homestay, peserta juga berpeluang bermain permainan tradisional seperti galah panjang, baling selipar dan boling kelapa. Peserta juga tidak ketinggalan merasai pengalaman sebenar kukur kelapa secara tradisional. Pertukaran budaya antara peserta dan masyarakat tempatan juga dipersembahkan bagi memeriahkan lagi program ini.

Menurut Ketua Kampung, Abd Karim Saad berkata, "Program homestay adalah antara program yang membantu menambahkan pendapatan sampingan penduduk kampung. Di dalam kampung ini terdapat 10 buah rumah yang didaftarkan di bawah Jabatan Pelancongan Dan Kebudayaan (MOTAC) bagi tujuan pelancongan desa ini. Penglibatan pelajar PTSS dalam membawa masuk peserta untuk merasai pelancongan homestay yang sebenar banyak membantu meningkatkan kedatangan pelancong di kampung ini."

Mohamed Yousuf Rashid, 21, pelajar antarabanga yang berasal dari India yang kini sedang belajar di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkata, "Saya sangat seronok mengikuti program ini dan saya berharap program ini dapat dilanjutkan lagi untuk beberapa hari kerana ia membolehkan saya mengenali dengan lebih dekat cara kehidupan di kampung ini."

Yazan Malik Abonakra, 21, yang berasal dari Syria yang kini sedang menuntut di UNIMAP pula berkata, "Saya sangat suka dapat melihat keindahan suasana kampung ini dengan budaya Melayu dan merasai kehidupan kampung dan permainan kampung yang amat menyeronokkan."

Menurut Pengarah Program, Heddy Nurhazmie Nawawi, "Program ini secara umum telah berjaya mencapai objektif dalam menjalinkan hubungan erat antara peserta dan komuniti setempat meskipun dalam tempoh yang singkat. Saya amat berterima kasih kepada penduduk Kampung Ujung Bukit, Perlis kerana dengan kerjasama mereka program ini dapat diadakan dengan jayanya."

Menurut beliau lagi, "Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Norzakiah Mohamed Bakhori dan Norasyikin Salleh, pensyarah kami kerana telah banyak membantu dan memberi nasihat bagi menjayakan program yang telah diadakan ini dengan tujuan utama mempromosikan pelancongan homestay bagi manfaat penduduk tempatan."

Perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh Gan Ay Ling, Ahli Dewan Undangan Indera Kayangan, Perlis.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my