ARKIB BERITA

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) dan Akademi NAZA telah menjalinkan Kolaborasi Strategik setelah perbincangan hasil dari lawatan industri yang diadakan di Akademi NAZA di Gurun baru-baru ini. Majlis menandatangani kolaborasi ini telah pun diadakan pada 28 Mac 2019 yang lalu dalam Majlis Penutupan Innovation, Project Presentation and Exhibition (I-PROPEX) 2019.

Abdul Malek Hassan, Pengarah PTSS berkata, "Jalinan kolaborasi yang ditandatangani ini membolehkan kerjasama diadakan oleh PTSS dengan Akademi NAZA bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua institusi ini dalam memperkasakan bidang akademik, penyelidikan dan TVET (Technical and Vocational Education and Training)." Menurut beliau lagi, dengan jalinan kolaborasi yang termeterai ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara PTSS dan Akademi NAZA bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan PTSS untuk memperkasakan industri 4.0 melalui kemahiran yang dimilikinya. Katanya lagi, penelitian yang lebih mendalam tentang kurikulum dan juga perincian program perlu dibuat bagi membolehkan pelajar dari kedua-dua institusi memanfaatkan kolaborasi.

Pengetua Akademi NAZA, Noor Amirulaman Sulaiman dalam ucapannya berkata, "Kami berasa bangga kerana pihak politeknik sudi menjalinkan kolaborasi dengan kami. Kerjasama ini akan melibatkan pertukaran kemahiran, pengetahuan, pengalaman, keusahawanan, kepimpinan, pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua belah pihak."

Pegawai Hubungan Korporat Industri dan Kebolehpasaran Graduan Pelajar PTSS, Amyzah Ahmad berkata, "Kolaborasi Strategik dengan Akademi NAZA sebenarnya akan memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk bekerjasama melalui knowledge sharing dari segi aspek teori dan praktikal melalui Program Pensyarah Pelawat Industri. Di samping itu, kolaborasi ini membuka peluang kepada pelajar PTSS dalam meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang." Menurut beliau lagi, melalui kolaborasi ini ia akan memberi peluang pensyarah dan pelajar menjalani latihan industri di Akademi NAZA.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kolaborasi dengan Akademi NAZA adalah sesuatu yang amat bermakna kepada JKM kerana pelajar JKM yang berminat dengan industri automatif boleh melalui program tersebut bersama Akademi NAZA. Bersama Akademi NAZA kita berpeluang bekerjasama melalui Projek Tahun Akhir yang bercirikan industrial based problem." Menurutnya lagi, pihak jabatan juga berminat untuk menyertai program Corporate Social Responsibility (CSR) anjuran Akademi NAZA pada masa hadapan dengan hasrat memberikan khidmat kepada komuniti serta memperkenalkan branding PTSS bersama industri.

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul 2 emas dalam Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (K-Novasi ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2019 yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi, Selangor.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah memenangi emas pertama melalui kumpulan Enginius yang membentangkan tajuk "Meningkatkan Kefahaman dan Daya Ingatan Pelajar Terhadap Konsep dan Hukum Dalam Sains Kejuruteraan Menggunakan Teknik Kad Permainan Imersif". Pembentangan telah dibuat oleh Masniza Yusof bersama dengan ahli kumpulan, Nur Ismalina Haris, Mohd Zulfabli Hasan, Nik Zilawati Nik Ab Rahman, Khairul Fazizul Mat Dris dan Mohd Zairunizam Umar.

Manakala emas kedua PTSS diperolehi melalui kumpulan Engineering TECH juga terdiri daripada pensyarah PTSS yang membentangkan tajuk "Pendekatan Heutagogy Dengan Berbantukan Teknologi Augmented Reality Dalam Pembelajaran Lukisan Kejuruteraan". Pembentangan telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama ahli kumpulan Sahrijan Ahmad, Nurisah Wahab, Hashimi Mat Lazim dan Nur Ismalina Haris.

Menurut Ketua Jabatan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Ini adalah kali pertama pihak jabatan menghantar 2 pasukan untuk menyertai karnival K-Novasi UKM. Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling manis kerana pensyarah jabatan ini telah memenangi 2 emas setelah bertanding dengan pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada Politeknik Malaysia kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul 2 anugerah emas."

K-Novasi ini diadakan oleh pihak UKM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pengajaran dan pembelajaran yang telah terpilih. Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan pensyarah dari sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT dari seluruh Malaysia telah menyertai karnival yang diadakan ini.

Anugerah Emas berkenaan telah disampaikan oleh Naib Canselor UKM, Profesor Ir. Dr Hamdi Abd Shukor.

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul 2 pingat emas dan 1 pingat gangsa dalam Innovative Research, Invention and Application Exhibition 2019 (I-RIA) yang telah diadakan di Dewan Mua’dzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah baru-baru ini.

Pasukan PTSS yang pertama terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) yang membentangkan tajuk "Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality (AR)". Pembentangan telah dibuat oleh Suveerak A/L Surapon bersama Willy A/L Tian, Nadia Haziera Abd Majid dan Premkumar A/L Pushparajan. Kumpulan ini diselia oleh pensyarah mereka iaitu Mohd Zulfabli bin Hasan.

"Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality" ini adalah satu projek berbentuk penghasilan poster menggunakan teknologi Augmented Reality selari dengan pendidikan 4.0. Projek ini berkait rapat dengan salah satu subjek utama Diploma Kejuruteraan Mekanikal iaitu subjek Mechanical Workshop Practice 1 yang terdiri daripada 3 bengkel utama iaitu bengkel kimpalan, pemesinan dan gegas. Projek ini dihasilkan untuk membantu pelajar semester 1 yang belum dapat menguasai asas ilmu kejuruteraan mekanikal, bagi membolehkan mereka menguasai asas bengkel-bengkel tersebut dengan kaedah pembelajaran yang menarik (fun learning) dan ini dapat menarik minat mereka untuk mempelajari subjek tersebut dengan lebih berfokus.

Projek ini juga telah menghasilkan poster pada setiap bengkel pembelajaran dan apabila pelajar mengimbas (scan) pada bahagian-bahagian tertentu, video akan memaparkan maklumat untuk pengendalian mesin tertentu. Secara tidak langsung, projek ini menjadi satu panduan bagi para pelajar menghasilkan projek untuk bengkel kimpalan, mesin dan gegas.

Istimewanya projek ini selain daripada menggunakan pendekatan Augmented Reality, semua video yang ada dirakam oleh ahli kumpulan ini sendiri untuk kesemua pembelajaran di bengkel-bengkel. Projek ini juga telah disebar luas di Politeknik Zon Utara iaitu Politeknik Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Jitra, Kedah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah dan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan mendapat respon yang sangat positif. Selain itu, Kolej Vokasional Kangar, Perlis juga telah didedahkan dengan penggunaan poster ini.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling bermakna kerana daripada 228 penyertaan dari seluruh Malaysia, pelajar JKM berjaya membawa balik 1 pingat emas daripada 2 pingat emas yang dirangkul PTSS."

Pingat emas ke 2 PTSS diperoleh daripada penyertaan seorang pensyarah iaitu Ida Rohayu Mohd Romli dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, PTSS dengan projek bertajuk "Portable Water Filtration System For Cooker Hood". Projek ini merupakan satu projek berkenaan sistem penapisan air mudah alih bagi hud memasak yang merupakan produk inovasi yang dicipta bertujuan merawat asap memasak sebelum dibebaskan ke persekitaran. Projek ini turut berperanan memberikan pendedahan amalan memasak yang mesra persekitaran dan berupaya mendidik pengendali makanan mahupun orang awam akan bahaya pembebasan bahan zarah (pm 2.5) terhadap tahap kesihatan dan alam sekitar. Projek ini memberikan impak terhadap kualiti udara terutama dalam pengurangan pembebasan bahan zarah (pm 2.5) daripada aktiviti memasak.

Menurut Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Noorlili Juwita Arshad, "Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama yang paling bermakna kepada jabatan ini kerana pensyarah JPH berjaya membawa balik 1 pingat emas daripada 2 pingat emas yang dirangkul PTSS dan mengharumkan nama PTSS."

Pingat gangsa pula dimenangi oleh pensyarah PTSS, Azmiah Aziz dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komputer (JTMK) dengan projeknya yang bertajuk "Smart Laundry PTSS".

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pelajar dan pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pelajar dan pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul 2 pingat emas dan 1 gangsa."

I-RIA 2019 diadakan oleh pihak UUM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dan ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pembelajaran dan pengajaran yang telah terpilih. Kira-kira 228 institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, sekolah, jabatan kerajaan dan pihak swasta dari seluruh Malaysia telah menyertai I-RIA 2019 yang diadakan ini.

Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Massudi Mahmuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM ,Sintok, Kedah pada Majlis Penutup I-RIA 2019.

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya memperolehi geran penyelidikan Applied Research Grant Scheme for TVET (T-ARGS) berjumlah RM41,000 daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Skim Geran Penyelidikan TVET, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Penyerahan geran berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Naim Yaakub, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam satu majlis yang diadakan di jabatan berkenaan semalam.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada pembangunan negara." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada para penyelidik kerana berjaya menaikkan imej PTSS dengan geran yang diperolehi itu. Kita memang menggalakkan pensyarah melakukan penyelidikan dan inovasi khususnya di bawah skim geran T-ARGS. Ini adalah bertujuan untuk melonjakkan penjanaan teori, konsep dan idea baru yang dapat menjadi pemangkin kepada penemuan baru yang menerobos sempadan ilmu dan penciptaan inovatif selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0."

Geran penyelidikan yang bertajuk "Emergency Exit Lockset for Grille Door" ini diketuai oleh Jamazuki Othman bersama empat orang penyelidik iaitu Mohamad Salahudin Mohamad Saad, Mohd Fahmi Hamid, Suhairi Ahmad dan Muhammad Masri Ahmad Tarmizi.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Nadzri Che Kamis berkata, "Melalui penyelidikan ini, penyelidik JKM akan menghasilkan satu prototaip "grille door" yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang akan membantu pengguna daripada terperangkap di dalam rumah atau premis semasa berlakunya sebarang kecemasan khususnya kebakaran. Projek inovasi ini juga akan dilengkapi dengan sistem penggera kebakaran dan pengesan asap (smoke detector) yang secara tidak langsung dapat membantu pengguna bertindak pantas ketika kecemasan."

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul pingat emas dan Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori Sains dan Teknologi dalam International Bujang Valley Innovation, Invention and Design Competition 2019 (BVIIEC 2019) yang telah diadakan di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA, Merbok, Kedah baru-baru ini.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) yang menghasilkan satu inovasi yang bertajuk Modish Smart Key Box (MSKB). Pembentangan telah dibuat oleh Kumpulan Enginius yang terdiri daripada Mohd Zulfabli Hasan, Nur Ismalina Haris, Mohamad Najib Ramli, Nurisah Wahab @ Abd Wahab, Sahrijan Ahmad, Nazeera Dan, Mohd Hanafiah Mat Jamlus, Nur Faradiana Rusli dan Masniza Yusof.

Kumpulan Enginius telah mencipta satu kotak kunci yang diberi nama "Modish Smart Key Box (MSKB)" bagi mengatasi masalah kehilangan kunci dan masalah pemantauan pengunaan kunci. Justeru, MSKB telah dihasilkan dengan permulaannya direkabentuk dengan menggunakan perisian Inventor dan seterusnya proses pembuatan. Pembangunan MSKB ni diadaptasi dengan kaedah Software Development Life Cycle (SDLC).

MSKB telah direkabentuk dan dicipta dengan ciri keselamatan dan moden dan telah direka selaras dengan revolusi perindustrian 4.0 dengan menggunakan Internet of Things (IoT), teknologi Augmented Reality (AR), cloud computing dan integrated system. MSKB menggunakan IoT untuk menyemak status penggunaan kunci melalui telefon bimbit. Selain itu, ia juga mengadaptasi konsep daripada lean manufacturing tools iaitu visual factory. Istilah "Visual factory" merujuk kepada pendekatan proses lean manufacturing berdasarkan maklumat visual di seluruh tempat kerja. Visual factory ini menggunakan sistem alat komunikasi untuk berkongsi maklumat pada masa dan tempat dan juga memaparkan maklumat tentang pengunaan kunci dengan menggunakan Arduaino Wemos Mega dan Liquid Crystal Display Monitor (LCD).

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling bermakna kerana dari 150 penyertaan institusi di Malaysia dan Indonesia, kumpulan pensyarah JKM berjaya membawa balik pingat emas dan merangkul Anugerah Terbaik Inovasi bagi kategori Sains dan Teknologi."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada kumpulan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal kerana berjaya menaikkan imej PTSS dengan merangkul pingat emas dan Anugerah Inovasi Terbaik kategori sains dan teknologi dalam BVIIEC 2019."

Pingat, sijil dan wang tunai bernilai RM150.00 telah disampaikan oleh Dato' Ir. Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan pada Majlis Penutup BVIIEC 2019.

PTSS Mengungguli Malaysian Polytechnic Mountainbike 2019

Malaysian Polytechnic Mountainbike 2019
Anjuran: Majlis Sukan Politeknik (MSP)
Lokasi: Politeknik Jeli, Kelantan
Tarikh: 10 Mac 2019

Johan Individu Lelaki
Muhammad Anas bin Mohd Amair (DPM)

Tempat Ketiga Individu Lelaki
Saiful Syazwan bin Abd Razak (DEV)

Tahniah pasukan MTB PTSS!!!

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah semarakkan penggunaan Bahasa Melayu di sekolah agama yang dikenali sebagai "Foundation Saengthum Wittaya School" di Trang, Thailand. Program ini diadakan sempena Program Semarak Bahasa Melayu yang merupakan program tahunan hasil kerjasama strategik di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) bersama 4 buah institut pengajian tinggi di Perlis iaitu PTSS, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kangar (IPGK).

Menurut Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan ketika ditemui berkata, "Program ini bertujuan memberi pengetahuan asas Bahasa Melayu kepada guru sekolah yang dipilih sekaligus meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Di samping itu, mereka juga didedahkan kepada kaedah pengajaran yang pelbagai dalam pengajaran Bahasa Melayu untuk diguna pakai di dalam pengajaran mereka di sekolah ini." Katanya lagi, Program Semarak Bahasa Melayu ini menfokuskan kepada pelestarian bidang pendidikan dan kebudayaan demi memanfaat umat Islam, sejajar dengan Falsafah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT). Menurut beliau lagi, ini merupakan kali kedua PTSS telah diberikan kepercayaan untuk turut serta dalam menjayakan program ilmiah di sekolah agama ini. PTSS juga turut terlibat dalam membantu membuat pemasangan panel tenaga solar di beberapa lokasi dalam kawasan sekolah.

Pegawai Pengantarabangsaan PTSS, Azlida Ahmad berkata, "Guru-guru agama ini diajar tentang asas Bahasa Melayu dari segi penulisan, bacaan, percakapan dan membudayakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan kehidupan seharian." Menurut beliau lagi, objektif utama ialah menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu di selatan Thailand dan ianya perlu bermula dengan sistem pengajaran Bahasa Melayu yang betul dan guru-guru di sekolah ini diajar dan dilatih bagi membolehkan pengetahuan ini disampaikan kepada pelajar-pelajar mereka.

Katanya lagi, "Seramai 13 orang pelajar dan 9 orang pensyarah terlibat dalam aktiviti ini. Pelajar juga terlibat dalam mengendalikan Kursus Pertolongan Cemas kepada pelajar sekolah berkenaan."

Menurut salah seorang pelajar yang mengikuti program ini, Luqman Hakim Mokhtar berkata, "Saya berasa teruja mengikuti program ini kerana dapat membantu pihak sekolah ini membuat pemasangan panel solar bagi kegunaan pelajar di sekolah. Kemudahan yang tak seberapa yang disediakan di sekolah ini mendatangkan keinsafan kepada diri saya betapa bertuahnya kita menjadi warganegara Malaysia dengan semua kemudahan pembelajaran dan lainnya disediakan oleh pihak kerajaan."

Siti Nurul Ain Zulkiflee pula berkata, "Saya berasa bangga terpilih dalam program ini dan gembira membantu rakan-rakan di sekolah agama ini mengajar ilmu pertolongan cemas kepada mereka. Kebanyakkan daripada mereka tidak memahami langsung asas pertolongan cemas dan mereka gembira mendapat asas ilmu ini dari kami."

Bagi Pensyarah PTSS, Asmiza Othman pula berkata, "Saya berasa bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan tahap pengetahuan Bahasa Melayu mereka agar mereka dapat menggunakannya untuk mengajar komuniti Melayu di Trang, Thailand."

Program ini berlangsung selama 3 hari dua malam di "Foundation Saengthum Wittaya School" di Trang, Thailand.

Pelajar baru Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) Sesi Disember 2018 membantu masyarakat Felda Chuping, Perlis dalam Program Bakti Siswa yang diadakan baru-baru ini. Program ini adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar PTSS. Seramai 423 pelajar baru PTSS terlibat dalam program ini.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Di samping itu, program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat dan juga mewujudkan jalinan ukhwah antara pelajar PTSS dengan penduduk setempat.

Program Bakti Siswa ini turut dipenuhi dengan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan rumah penduduk kampung, pembersihan kawasan klinik desa, kawasan jalan memasuki kampung, kawasan sekitar masjid, sekolah dan balai RELA yang ada di felda ini. Para pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis berkata, "Melalui aktiviti yang diadakan ini akan dapat mengeratkan hubungan yang baik antara PTSS dan masyarakat Felda Chuping yang terletak berdekatan dengan PTSS. Sebelum peserta menjalani program ini, mereka telah diberikan taklimat agar masing-masing dapat menyesuaikan diri semasa mengadakan gotong-royong bersama penduduk di felda ini."

Peserta program, Muhammad Izzat Izamuddin Abdul Rashid, 18 berkata, "Program yang diadakan ini berjaya menambah ilmu di kalangan pelajar supaya mereka tidak kekok lagi pada masa akan datang untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat."

Aliah Syafiah Rusli, 18, dari Alor Setar berkata, "Banyak perkara menarik dapat dipelajari dan dilakukan apabila berada di kampung dan ilmu yang diperolehi dapat dijadikan panduan untuk memajukan diri."

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan ketika berucap di majlis penutupan program berkata, "Program Bakti Siswa ini memberikan impak yang berkekalan, pelajar bukan sahaja berbakti malah perlu memahami kehidupan penduduk setempat dan belajar secara pengamatan serta membantu mereka menjalani kehidupan seharian dan juga kepada yang memerlukan pertolongan." Menurut beliau lagi, melalui program ini juga mereka akan dapat keluar dari satu ruang lingkup yang terhad dan saiz pemikiran mereka akan lebih berkembang dan akan lebih mendewasakan mereka dalam masyarakat.

Abdul Malek Hassan juga turut turun padang menziarahi penduduk yang tinggal di Felda Chuping. Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSS, Jamazuki Othman dan Idris Abbas, Ketua Biro Keceriaan Felda Chuping mewakili Pengurus Felda Chuping.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my