banner-ptss.jpg
banner-aidiladha.png
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-aidiladha.png
apc-2024.jpg
banner-jke-etac.jpg
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-jke-etac.jpg
banner-kpi-polycc-2.jpg
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-kpi-polycc-2.jpg
banner-plastic-reset-day.jpg
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-plastic-reset-day.jpg
banner-amalan-eksa.jpg
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-amalan-eksa.jpg
banner-smartgreen.jpg
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-smartgreen.jpg
banner-maklum-balas.png
http://www.ptss.edu.my/v9/images/banners/banner-maklum-balas.png
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis perihatin membantu pelajar miskin yang kurang mampu untuk meneruskan pengajian disebabkan kekangan kewangan. Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis berserta pegawai dan kakitangan jabatan baru-baru ini telah mengunjungi rumah pelajar tersebut, Nor Asmawati Azmei di Jalan Kilang Gula, Kampung Titi Tambang, Perlis menyampaikan bantuan kewangan berupa wang tunai bernilai RM350.00 kepada pelajar dan juga barangan dapur kepada keluarga pelajar berkenaan. Pelajar tersebut merupakan anak kedua daripada empat orang keluarga berkenaan.
Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis, "Bantuan yang diberikan ini ialah bagi membantu pelajar meneruskan pelajaran di politeknik di samping meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung pelajar dalam mengejar cita-cita dan kejayaan untuk masa hadapan mereka." Menurut beliau lagi, beliau menerima maklumat dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik PTSS, terdapat seorang pelajar semester akhir yang terpaksa menangguhkan pengajian kerana yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar yuran pengajian. Hasil daripada siasatan yang dilakukan, keluarga pelajar ini dalam kategori miskin di mana ibu beliau menjana pendapatan melalui kerja urutan di kampung dengan suami yang bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak seberapa di samping terpaksa memelihara 4 orang anak dengan seorang anak kurang upaya.
Katanya lagi, "Sebaik sahaja kita mendapat maklumat keadaan pelajar ini, kita telah membuat kutipan derma dengan segera bagi membantu pelajar ini agar beliau dapat meneruskan pengajian dan bergraduat seperti yang dijadualkan. InsyaAllah kita akan membantu setakat yang terdaya untuk meringankan bebanan mereka." Bagi Mariam Bakar, ibu pelajar berkenaan berkata, "Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada PTSS kerana memberikan sumbangan wang bantuan ini dalam membantu anak saya meneruskan pengajian di PTSS, budi baik pihak PTSS membantu keluarga saya adalah sangat-sangat saya hargai." Nor Asmawati Azmei juga melahirkan rasa terharu kerana pihak PTSS sanggup membantu beliau di semester akhir pengajian di PTSS sebelum menjalani latihan industri dan seterusnya menamatkan pengajian di peringkat diploma.
Sumbangan bantuan barangan dapur disampaikan sendiri oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis dan sumbangan bantuan kewangan disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam PTSS, Shahril Annuar Ahmad mewakili Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan. Turut serta hadir semasa bantuan diberikan adalah Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri, Mazrul Hisyam Mat Ali.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah memberi pendedahan keusahawanan kepada pelajar melalui lawatan keusahawan yang diadakan oleh Jabatan Perdagangan PTSS untuk pelajar Diploma Perakaunan Semester 5 seramai 36 orang ke Syarikat Pau Halim Enterprise, Kampung Belat Batu, Arau, Perlis. Pemiliknya Pau Halim Enterprise, Raihanah Abdul Halim pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Realiti TV "Mencari CEO Desa" anjuran TV3.
Menurut Pengarah Program Lawatan Keusahawanan ini, Rifhan Roslan berkata, "Lawatan ini diadakan sebagai memenuhi Kursus Keusahawanan yang merupakan satu wajib yang harus dipelajari oleh pelajar dan ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang keusahawanan kepada pelajar. Daripada lawatan ini pelajar dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana keusahawanan merupakan salah satu peluang untuk pelajar berjaya dalam perniagaan dan boleh memperolehi pendapatan yang lumayan berbanding bekerja dengan syarikat dan kerajaan."
Dr Dzulkarnain Musa, pensyarah kursus berkenaan ketika ditemui berkata, "Program ini bertujuan memberi pengetahuan asas keusahawanan kepada pelajar semester 5, Diploma Perakaunan sekaligus meningkatkan kemahiran keusahawanan dengan melawat dan bertanya sendiri dengan pemilik syarikat. Di samping itu, mereka juga didedahkan kepada kaedah keusahawanan yang diguna pakai oleh pengusaha untuk menarik pelanggan membeli produk mereka." Katanya lagi, "Program Lawatan Keusahawanan ini sengaja diadakan untuk membentuk jati diri minat pelajar kepada keusahawanan kerana dengan keusahawanan mereka boleh berjaya dengan lebih cemerlang di samping membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat."
Menurut salah seorang pelajar yang mengikuti program ini, Lukman Munasir berkata, "Saya berasa teruja mengikuti program ini kerana dapat melihat dan memahami dengan lebih jelas bagaimana sesebuah syarikat itu beroperasi dan menarik perhatian pelanggan untuk mendapat keuntungan. Paling menarik saya dapat berkomunikasi secara bersemuka dengan pemilik syarikat dan dapat bertanyakan soalan tentang perniagaan yang dijalankan dan pada masa yang sama ia sebenarnya telah menarik minat saya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya."
Bagi Pemilik Pau Halim Enterprise, Raihanah Abdul Halim pula beliau begitu teruja kerana syarikat beliau telah dipilih sebagai tempat untuk lawatan keusahawanan pelajar PTSS. Menurutnya lagi, lawatan seperti ini dapat mendekatkan lagi pihak industri dengan politeknik di samping pihak politeknik boleh memahami kehendak industri dalam menghasilkan dan mengeluarkan tenaga kerja selaras dengan kehendak industri.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah memberi pendedahan Kursus E-Keusahawanan kepada masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli, Lubuk Legong, Ulu Legong Baling, Kedah. Program ini berlangsung selama 2 hari mulai 30-31 Mac 2019. Seramai 43 orang golongan muda lelaki dan wanita orang asli terlibat dalam kursus ini yang diadakan sempena Program Jalinan Kasih yang diadakan di perkampungan tersebut. Program ini dianjurkan bersama Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS), Askar WATANIAH, Sukarelawan YES Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), RELA Negeri Perlis dan RELA Negeri Kedah.
Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Ismail Salleh berkata, "Penganjuran program seperti ini harus dipuji kerana ianya memberikan peluang kepada anak-anak luar bandar untuk menambah baik kemahiran serta kebolehan mereka secara positif. Ia juga boleh menjadi platform kepada penduduk orang asli untuk mendapatkan bantuan serta mempelajari peluang dan kemahiran melalui pelbagai aktiviti-aktiviti yang diadakan." Menurut beliau lagi, "Saya percaya program sebegini juga akan memberikan ruang dan galakan kepada penduduk untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui bengkel dan kursus kemahiran yang dilaksanakan." Di akhir ucapan, beliau turut mencadangkan kepada pihak politeknik untuk menyediakan program khas Pra Diploma dan Diploma yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki oleh orang asli seperti kemahiran kraftangan supaya kemahiran mereka dapat dibangunkan dan diperkenalkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan dalam ucapan aluannya berkata, "Program ini diadakan bertujuan memberi galakan kepada masyarakat orang asli untuk menjalankan perniagaan sendiri, membantu mereka memperolehi pendapatan dari hasil usaha mereka sendiri, membantu mereka menjalankan perniagaan serta memasarkan barangan mereka secara dalam talian (online) dengan pemantauan dan membantu menyediakan prasarana untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan." Menurut beliau lagi, program ini hanya memberi fokus kepada aspek keusahawanan di kalangan masyarakat orang asli di Perkampungan Lubuk Legong, Ulu Legong, Baling, Kedah.
Tok Batin perkampungan ini, Razali Kulim berkata, "Saya bagi pihak penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada PTSS kerana sanggup datang ke kampung ini dan membantu golongan muda masyarakat orang asli dan mengajar cara menjalankan perniagaan dengan betul. Saya juga berharap pihak politeknik agar terus membimbing masyarakat orang asli berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi."
Bagi Komandan RELASIS PTSS selaku Pengarah Program Jalinan Kasih, Ahmad Razif Abdul Rashid berkata, "Saya merasa bangga kerana program yang diadakan ini mencapai matlamatnya membantu orang asli dalam memberikan ilmu keusahawanan kepada mereka. Dalam masa yang sama, program ini dapat memupuk semangat keperihatinan kepada semua pelajar PTSS yang menyertai program tentang kepentingan memberi perkhidmatan kepada komuniti dan impaknya kepada ekonomi masyarakat orang asli."
Dalam Majlis Penutupan Program Jalinan Kasih Masyarakat Orang Asli ini, Dato’ Dr Ismail Salleh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar turut melancarkan Portal Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong dan Modul Pembentukan E-Usahawan Masyarakat Orang Asli. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada keluarga masyarakat orang asli di sini berupa barangan keperluan dapur untuk keperluan seharian.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul pingat emas dalam International Students Affairs Invention, Innovation and Design Competition (ISAIID) 2019 yang telah diadakan bertempat di Universiti Teknologi MARA, Merbok, Kedah baru-baru ini di Dewan Perdana kampus berkenaan.
Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal melalui kumpulan Team Engineering TECH yang membentangkan tajuk "The Development of Interractive Learning Method Through Augmented Reality In Engineering Drawing: Cybergogy and Heutagogy Approach". Pembentangan telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama Nurisah Wahab, Sahrijan Ahmad, Nur Ismalina Haris dan Hashimi Mat Lazim.
Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini merupakan kemenangan yang paling manis kerana PTSS merupakan satu-satunya dari kumpulan Politeknik Malaysia yang bertanding dan telah menang pingat emas setelah bertanding dengan pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia dan juga dari luar negara."
Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran setanding dengan IPT lain." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS dan berjaya merangkul pingat emas."
ISAIID diadakan oleh pihak UiTM bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli akademik berkaitan dengan teknik inovasi pengajaran dan pembelajaran yang telah terpilih. Kira-kira 200 institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta dari dalam dan juga luar negara serta dari sekolah dari seluruh Malaysia telah menyertai ISAIID 2019 yang diadakan ini.
Pingat Emas, sijil dan wang tunai RM100.00 berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr Azizan Abdullah. Turut hadir bersama dalam penyampaian hadiah ialah Dr Wan Irham Ishak, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Negeri Kedah.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah membantu pelajar lepasan sekolah bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mengadakan program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis Tahun 2019 selama 3 hari 2 malam. Seramai 67 orang pelajar lepasan sekolah terlibat dalam program yang diadakan ini.
Tujuan program ini diadakan ialah untuk melatih bakal mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang berpandukan elemen-elemen kebitaraan serta kesukarelawan. Hasrat ini diusahakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mampan dan pembinaan tamadun yang tinggi.
Program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis Tahun 2019 turut dipenuhi dengan aktiviti seperti debat, universiti medium pembinaan perwatakan, Le Tour De Campus dan Latihan Dalam Kumpulan. Mereka juga turut didedahkan tentang kehidupan di kampus dan diberikan latihan ke arah membentuk peranan mahasiswa dari segi kepimpinan dan pembentukan keperibadian yang unggul selaras dengan kehendak Islam.
Menurut Pengarah Program, Amirul Faris Razali berkata, "Program yang diadakan ini adalah diharapkan akan dapat melahirkan bakal mahasiswa yang berjiwa kental dan berketrampilan dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar dalam pembentukan jasmani, emosi ,rohani dan intelektual yang mantap dalam mengharungi arus kehidupan."
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis ketika merasmikan majlis penutupan ini berkata, "Melalui aktiviti yang telah diadakan ini diharapkan para pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dapat memahami dan merasai keadaan dan suasana kehidupan di kampus. Secara tidak langsung program ini akan menimbulkan minat para pelajar semua agar memohon untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada ke politeknik atau universiti. Saya amat berharap program ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat pengajian di Institut Pendidikan Tinggi nanti setelah keputusan peperiksaan diumumkan."
Peserta program, Siti Rabiatul Aisyah Zakaria dari Sekolah Menengah Agama Al Alawiyah Ad Diniah, Arau, Perlis berkata, "Program yang diadakan ini berjaya menambah ilmu di kalangan pelajar supaya mereka tidak kekok apabila menyambung pelajaran di kampus sama ada di politeknik mahu pun universiti."
Alif Hakimi Mohamad Nor dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Arau, Perlis berkata, "Banyak perkara menarik dapat dipelajari dan dilakukan apabila menyertai program ini dan ilmu yang diperolehi dapat dijadikan panduan untuk memajukan diri."
Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan ketika ditemui berkata, "Program diadakan ini memberikan impak yang berkekalan, pelajar dapat merasai sendiri kehidupan di kampus hasil dari aktiviti yang dilaksanakan bukan setakat itu sahaja latihan yang diberikan dapat membentuk pelajar ke arah menjadi mahasiswa berdisiplin apabila mereka dapat menyambung pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi nanti."
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis (PTSS) Sesi 2019 baru-baru ini telah menerima watikah perlantikan dari Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan. Seramai 26 orang pelajar PTSS telah menerima watikah perlantikan sebagai ahli MPP bagi Sesi 2019.
Perlantikan dibuat hasil daripada pemilihan yang dilakukan oleh pelajar PTSS melalui Pilihanraya Kampus yang diadakan di PTSS baru-baru ini. Hanihatim Mohd Aris, pelajar semester 4 dari Jabatan Perdagangan PTSS telah dilantik sebagai Yang Dipertua MPP dan Abdullah Abduraman, pelajar semester 4 dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik PTSS sebagai Naib Yang DiPertua MPP.
Menurut Yang DiPertua MPP, Hanihatim Mohd Aris, "Perlantikan ini merupakan satu cabaran kepada beliau membantu menjayakan program yang dirancang oleh PTSS dalam membangunkan pelajar dan menghasilkan pelajar PTSS yang cemerlang dari segi pembelajaran dan juga pelbagai bidang. Saya berjanji untuk menjadi pemimpin yang terbaik bagi mencapai hasrat politeknik."
Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Pihak MPP perlu merancang aktiviti yang akan diadakan selari dengan dasar dan kehendak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Ianya harus selari dengan kehendak pengurusan yang berkehendakkan pelajar PTSS cemerlang dari semua segi sama ada di peringkat akademik, kokurikulum, sukan dan juga pembangunan insan."
Menurut beliau lagi, pihak MPP seharusnya memainkan peranan meningkat imej pelajar PTSS apabila mereka graduat, mereka dikehendaki oleh industri hasil dari kepakaran dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka. Ini adalah selaras dengan matlamat PTSS yang inginkan semua lulusan PTSS mempunyai pekerjaan apabila bergraduat nanti dan membantu mengukuhkan ekonomi negara apabila berkhidmat dalam pelbagai bidang industri.
"Pelajar perlu proaktif dan bersedia untuk membangunkan jati diri dengan bersedia merancang kehidupan diri sendiri setelah berada jauh dari ibubapa," Abdul Malek Hassan, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Minggu Haluan Siswa PTSS bagi Sesi Jun 2019 di Dewan Harumanis, PTSS semalam.
Menurut beliau lagi, pelajar perlu membangunkan jati diri dan mengelakkan diri dari menjadi pelajar yang lembab dan tidak proaktif. Pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti badan berunifom yang telah disediakan di PTSS seperti pasukan Relasis, Angkatan Pertahanan Awam, Kelana Siswa dan Askar Wataniah. Katanya lagi, "Aktiviti badan berunifom ini dapat meningkatkan jati diri yang tinggi dan menjadikan pelajar lebih bertanggungjawab dan mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi."
Menurut Rosnizam Kamis, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS ketika ditemui berkata, "Minggu Haluan Siswa yang diadakan ini merupakan satu minggu yang diberikan kepada mahasiswa baru PTSS untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di politeknik yang berbeza dengan alam persekolahan. Pelajar juga diberikan pelbagai maklumat mengenai kehidupan kampus yang akan mereka harungi nanti."
Menurut beliau, PTSS menerima kemasukan pelajar sehingga kini berjumlah 895 orang pelajar, termasuk 12 orang pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pendaftaran pelajar dijangka terus meningkat sehingga 4 Julai 2019 iaitu tarikh akhir pendaftaran pelajar. PTSS membuat pengambilan pelajar sebanyak dua sesi iatu pada Sesi Jun dan Sesi Disember 2019. PTSS merupakan politeknik yang ke 18 dari 36 politeknik yang sedia ada di Malaysia.
Siti Rabiatul Adawiyah Nasir Khan, pelajar baru berkata, "PTSS merupakan kampus yang tenang dan cantik dan sesuai untuk saya meneruskan pelajaran di peringkat diploma dengan pembelajaran yang selesa jauh dari suasana bandar."
Menurut Mohd Haziq Mohd Fadzil, salah seorang pelajar baru yang ditemui berkata, "Saya difahamkan bahawa lulusan politeknik mudah diterima untuk bekerja oleh pihak industri selepas bergraduat dan saya berasa gembira diterima belajar di PTSS kerana sememangnya menjadi cita-cita saya untuk menyambung pelajaran di politeknik."
Majlis Perasmian Penutupan Minggu Haluan Siswa PTSS bagi Sesi Jun 2019 ini disempurnakan oleh Abdul Malek Hassan, Pengarah PTSS. Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Akademik PTSS, Roseliza Dato’ Shaari, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSS, Jamazuki Othman, Ketua-Ketua Jabatan dan Ahli Mesyuarat PTSS yang lain.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) mengeratkan tali silaturahim sesama warga dan jabatan dan agensi kerajaan yang berdekatan dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PTSS baru-baru ini. Sambutan ini dimeriahkan dengan kehadiran hampir 600 tetamu yang berlangsung di Dewan Harumanis, PTSS.
Majlis yang bermula pada jam 11.00 pagi itu merupakan anjuran Kelab Kebajikan Kakitangan,PTSS. Sebanyak 20 buah gerai dengan pelbagai juadah bertemakan makanan tradisi Hari Raya serta kuih-muih dihidangkan buat para tetamu. Menurut Pengerusi Kelab, Dr Jailani Abdul Kadir, gerai-gerai yang disediakan ini menyajikan menu yang berbeza dan diterajui oleh pelbagai jabatan-jabatan yang ada di PTSS.
"Setiap tahun sememangnya setiap jabatan kita pastikan akan berpeluang menyajikan menu yang berbeza dari tahun sebelumnya kerana di situ nanti kita akan dapat rasai keunikan rasa dan persembahan hiasan gerai yang mereka tonjolkan. Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif kakitangan setiap jabatan ini yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik kerana kita turut mengadakan pertandingan gerai tercantik untuk gerai-gerai ini," katanya.
Antara juadah tradisi yang disediakan adalah lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, roti jala, laksa dan mi kari.Menu istimewa yang mendapat sambutan ialah nasi daging, satay, lontong dan pulut mempelam harumanis.
Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan dan warga PTSS dalam sambutan hari ini amat membanggakan. "Saya berpeluang untuk melawat setiap gerai yang terdapat di sini dan amat memuji kesungguhan para kakitangan menjadikan majlis hari ini bermakna. Saya turut gembira kerana kanak-kanak Tabika Kemas dan Taska PTSS turut dibawa bersama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di PTSS. Ini kelainan baharu yang ditonjolkan oleh penganjur pada tahun ini," katanya.
Pada majlis tersebut, turut diadakan pertandingan gerai tercantik yang mana tempat pertama dimenangi oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, tempat kedua oleh Jabatan Pengajian Am dan tempat ketiga ialah Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.
E-mel Rasmi Kakitangan (MyGovUC 3.0)
Sistem Aduan Kerosakan (UPP2U)
Sistem Koleksi Maklumat (KOLAM)
Sistem Pengurusan Maklumat Politeknik (SPMP)
Sistem Pemantauan Operasi Tugas (SPOT-Me)
Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS 2.0)
Sistem e-Penyata Gaji dan Laporan (eSPGL)
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis
Telefon : 604 988 6200
Faks : 604 988 6300
E-mel : info[at]ptss.edu.my