ARKIB BERITA

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) baru-baru ini telah mengadakan Kursus "Training Of Trainers" (TOT) Bahasa Melayu di sekolah agama yang dikenali sebagai "Foundation Saengthum Wittaya School" di Trang, Thailand. Program ini diadakan sempena Program Semarak Bahasa Melayu yang merupakan program tahunan hasil kerjasama strategik di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) bersama 4 buah institut pengajian tinggi di Perlis iaitu PTSS, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kangar (IPGK).

Menurut Pengarah PTSS, Dr. Mohd Zahari Ismail, "Program ini bertujuan memberi pengetahuan asas Bahasa Melayu kepada guru sekolah yang dipilih sekaligus meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Di samping itu, mereka juga didedahkan kepada kaedah pengajaran yang pelbagai dalam pengajaran Bahasa Melayu untuk diguna pakai di dalam pengajaran mereka di sekolah masing-masing sekembali daripada program ini". Katanya lagi, Program Semarak Bahasa Melayu ini memfokuskan kepada pelestarian bidang pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam, sejajar dengan Falsafah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Menurut beliau lagi, ini merupakan kali pertama PTSS telah diberikan kepercayaan untuk turut serta dalam menjayakan program ilmiah ini. Sebanyak 4 buah sekolah telah terlibat dalam Program Semarak Bahasa Melayu ini dengan 4 buah institusi pengajian tinggi yang berbeza bertanggungjawab melaksanakannya. Beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tenaga pengajar dari PTSS, UNIMAP, UiTM dan IPGK di atas penglibatan serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Semarak Bahasa Melayu di Dewan Thanarom 3, Hotel Thumrin Thana,Trang,Thailand. DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berangkat merasmikan penutupan majlis ini.

Seramai 6 orang pensyarah PTSS terlibat dalam kursus TOT ini. TOT ini melibatkan peserta yang terdiri 17 orang guru agama di "Foundation Saengthum Wittaya School", Trang, Thailand. Menurut Pegawai Pengantarabangsaan PTSS, Azlida Ahmad, "Guru-guru agama ini diajar tentang asas Bahasa Melayu dari segi penulisan, bacaan, percakapan dan membudayakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan kehidupan seharian." Menurut beliau lagi, objektif utama ialah menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu di selatan Thailand dan ianya perlu bermula dengan sistem pengajaran Bahasa Melayu yang betul dan guru-guru di sekolah ini diajar dan dilatih bagi membolehkan pengetahuan ini disampaikan kepada pelajar-pelajar mereka. Pihak PTSS akan datang ke sekolah ini dari semasa ke semasa untuk membantu guru-guru agama di sekolah ini demi memartabatkan Bahasa Melayu di selatan Thailand.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) bagi tahun 2018 diingatkan agar bersedia menunaikan tanggungjawab dan amanah mereka terutama dalam menjaga kebajikan penuntut di kampus itu. Pengarah PTSS, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, sebagai sebuah organisasi yang telah dipilih oleh pelajar, mereka sewajarnya sentiasa prihatin dan mengambil kira keperluan pelajar dalam usaha menyediakan suasana kondusif di pusat pengajian tinggi ini. Jelasnya, MPP merupakan penghubung antara pengurusan politeknik dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat khususnya melibatkan permasalahan yang dihadapi mereka.

"Anda semua telah dipilih oleh pelajar sebagai pemimpin dan selaku pemimpin anda perlu menjalankan tugas dan menghargai undi yang diberikan mereka. Dengan kuasa yang ada, anda perlu mengambil tahu tentang mereka dan maklumkan pada kita. Jika mampu kita akan penuhi keperluan pelajar," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan di Bilik Mesyuarat Persidangan PTSS dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 30 anggota Exco yang diketuai Yang Dipertua MPP PTSS, Mohd Kharul Fikri Ibrahim menerima watikah pentauliahan sebagai Exco MPP PTSS yang disampaikan oleh Dr Mohd Zahari Ismail. Dalam pada itu, Dr Mohd Zahari turut meminta MPP PTSS menumpukan penganjuran aktiviti berimpak tinggi yang mampu memberi kesan untuk tempoh jangka masa panjang. Jelasnya, langkah tersebut perlu agar para pelajar tidak terlalu terbeban dengan pelbagai program yang diadakan secara bermusim dan kurang impak.

"Saya mahu para pelajar memikirkan aktiviti yang bersifat jangka masa panjang, misalnya adakan program melibatkan satu komuniti untuk tempoh beberapa tahun kerana ia lebih mudah untuk kita lihat impaknya berbanding program yang dibuat secara bermusim. Di samping itu pihak MPP perlu juga mengadakan pembangunan dan penghayatan aktiviti di Pusat Islam PTSS agar dapat menggalakkan para pelajar menyemarakkan Pusat Islam setiap masa. Contoh lain, kalau kita adakan acara sukan, saya lihat ia lebih kepada bersuka ria namun jika pelajar tumpu pada penubuhan kelab beberapa sukan yang kita ada kekuatan, kita boleh lahirkan ramai atlet berbakat besar untuk mewakili negara pada masa depan," katanya.

Turut hadir bersama dalam majlis yang diadakan ialah Timbalan Pengarah Akademik, Roseliza Dato’ Shaari, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Jamazuki Othman dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Ruslan Salikin.

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis menggondol 2 pingat emas dalam Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018. Pelajar PTSS, Azrul Ekhsan Azman dan Nur Tasnim Muhamad yang mewakili Politeknik Malaysia berjaya menyumbang 2 pingat emas, 3 perak melalui kategori perseorangan wanita (emas), perseorangan lelaki (perak), beregu campuran (perak) dan beregu lelaki (emas) di SUKIPT 2018 yang berlangsung pada 2-10 Febuari 2018 lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengarah PTSS, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam SUKIPT 2018 dan merupakan satu sejarah kerana pertama kalinya pelajar PTSS memenangi pingat emas dan mengharumkan nama PTSS ,Politeknik Malaysia dan juga Negeri Perlis. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai". Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Kontinjen PTSS, Bustamam Bonari dan juga jurulatih tenis PTSS, Mohd Fadhli Ahmad kerana membawa pulang 2 pingat emas dalam SUKIPT 2018.

Nur Tasnim Muhamad yang pernah mewakili Malaysia semasa sekolah menengah telah menewaskan Khadijah Najwa Latfy dari UiTM di peringkat akhir dengan mata 3-6, 6-1, 6-4 bagi mengondol pingat emas pertama bagi PTSS untuk perseorangan wanita.

Emas kedua diperolehi melalui Azrul Ekhsan Azman yang bergandingan dengan Adeeb Zahar bagi kategori beregu lelaki yang berjaya menewaskan pasangan UiTM dengan mata 6-1, 6-1 dalam perlawanan yang mengambil masa sejam.

Dengan kejayaan ini, ia membuka mata Persatuan Tenis Malaysia dengan membawa beliau untuk menyertai kejohanan persahabatan "Bangladesh Solidarity Matches - Malaysia vs Bangladesh" yang bakal berlangsung di Bangladesh pada 7-10 Mac 2018.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis telah menjalinkan kolaborasi dengan 21 Kolej Teknikal Thailand baru-baru ini. Majlis menandatangani kolaborasi tersebut telah diadakan di “Phranakhon Si Ayutthaya Technical College”, Bangkok, Thailand dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik,Malaysia.

Dr Mohd Zahari Ismail,Pengarah PTSS berkata, “Jalinan kolaborasi yang ditandatangani ini membolehkan kerjasama diadakan oleh PTSS dengan 21 Kolej Teknikal Thailand bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua institusi ini dalam memperkasakan bidang akademik, penyelidikan dan TVET (Technical and Vocational Education and Training) ”.Menurut beliau lagi, dengan jalinan kolaborasi yang termeterai ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Thailand dalam memperkasa sistem pendidikan tinggi bagi membolehkan 21 institusi teknikal ini bekerjasama dengan PTSS untuk memperkasakan industri 4.0 melalui kemahiran yang dimiliki oleh semua institusi ini.Katanya lagi, ini merupakan satu sejarah juga kepada PTSS dimana pertama kali 21 Kolej Teknikal Thailand menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan PTSS kerana kepakaran yang dimiliki oleh PTSS hingga menarik minat mereka untuk menjalinkan kolaborasi.

Pengarah Kolej Teknikal Phrankhon Si Ayutthaya, Mr Jarun Youbrum mewakili 21 Kolej Teknikal Thailand dalam ucapannya berkata, “Bagi 21 Kolej Teknikal Thailand kami berasa bangga kerana pihak politeknik sudi menjalinkan kolaborasi dengan kami, dan kerjasama ini akan melibatkan pertukaran kemahiran ,pengetahuan pengalaman, keusahawanan, kepimpinan dan budaya antara pelajar politeknik dan pelajar Kolej Teknikal Thailand”.

Katanya lagi, kerjasama juga akan diadakan melibatkan penganjuran seminar,kursus dan juga program memperkasakan Bahasa Inggeris bersama pelajar Thailand.Menurut beliau lagi,penganjuran program dan aktiviti akan dilaksanakan di Malaysia dan juga di Thailand.Turut hadir dalam Majlis Menandatangani Kolaborasi ini ialah Ketua Penolong Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia. Saifuddin Kumar Abdullah, mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my