ARKIB BERITA

Arau - "Program "Say Yes To Green" diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian dan kepentingan amalan gaya hidup hijau, memupuk semangat kekitaan dan meningkatkan produktiviti terhadap persekitaran kerja yang berinisiatif hijau dan mempraktikkan amalan gaya hidup hijau dalam kehidupan seharian", Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS), Roseliza Shaari berkata demikian baru-baru ini ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program "Say Yes To Green" di perkarangan Bangunan Pentadbiran, PTSS.

Menurut beliau lagi, PTSS mengadakan program ini untuk menyambut seruan kerajaan untuk bersama-sama menyokong kelestarian alam sekitar dengan lebih efisyen di samping berusaha menonjolkan komitmen ke arah melahirkan pekerja yang berkolar hijau. Katanya lagi, mesej menghijaukan negara ini sangat jelas di waktu kita berusaha untuk membangunkan negara, kita tidak harus lupa betapa pentingnya kita perlu untuk mengekalkan dan memelihara alam sekitar.

Pengarah Program ini, Laila Musa pula berkata, "Program ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis dan Northern Runners Resources. Aktiviti yang diadakan ialah Green Campus Run 2019, Pelancaran Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perlis dan gerai jualan dan Food Truck dengan penglibatan FAMA Negeri Perlis." Menurut beliau lagi, Green Campus Run 2019 ialah penganjuran Fun Run sejauh 5 km dan seramai 300 orang peserta terdiri dari masyarakat setempat dan pelajar telah menyertai  aktiviti ini dengan kerjasama Northern Runners Resources.

Pelancaran Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perlis juga turut diadakan bersama dalam program ini dengan Pelancaran Hari Ozon telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Mohd Faizal Ab Jalil. Sempena Pelancaran Hari Ozon, aktiviti Ujian Refrigerant bagi menguji kandungan CFC di dalam gas penghawa dingin kenderaan yang digunakan, turut diadakan bersama aktiviti mewarna untuk kanak-kanak dengan kelolaan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis. Bagi aktiviti mewarna, seramai 100 orang kanak-kanak telah menyertai aktiviti yang telah diadakan.

Aktiviti ini diakhiri dengan penyampaian hadiah-hadiah kemenangan untuk Fun Run dan aktiviti mewarna oleh Timbalan Pengarah Akademik PTSS, Roseliza Shaari. Turut hadir bersama Mohd Faizal Ab Jalil, Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Dr Mohammad Shahril Salim, Pengarah Northern Runners Resources, Dalilah Dali, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya dan Jamazuki Othman, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSS.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya menjadi Juara Poly’s Voice 2019 Edisi ke-3 yang telah berlangsung di Politeknik Kuching, Sarawak baru-baru ini. Pertandingan ini merupakan platform mahasiswa politeknik dalam bidang pengacaraan. Peserta dari PTSS, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eikman telah dinobatkan sebagai Juara dan juga dipilih sebagai Ikon Warisan Poly’s Voice 2019.

Menurut Muhammad Nazmi, "Apa yang saya belajar dari Poly’s Voice ialah kita perlu bekerjasama antara satu sama lain. Dalam bidang pengacaraan kita perlu bawa keunikan dan sesuatu yang lain agar ia kelihatan lebih menarik." Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah memberikan tunjuk ajar sehingga mencapai kejayaan ini.

Pensyarah pengiring beliau, Saiful Mohamed Shuib berkata, "Ini merupakan kali pertama PTSS muncul  juara setelah tiga kali menyertai pertandingan ini. Selama 4 hingga ke 5 bulan kita telah memberi kursus, bengkel dan latihan dalam pelbagai topik untuk mengulas topik dan kita bangunkan beliau dengan pelbagai personaliti agar dapat membawa diri dan menunjukkan sesuatu yang lain dan terbaik untuk Poly’s Voice kali ini."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana PTSS mampu melahirkan pelajar yang berketrampilan dan boleh berkomunikasi di khalayak ramai." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada Muhammad Nazmi dan pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya membimbing pelajar hingga berjaya menjadi juara dalam pertandingan ini."

Poly’s Voice 2019 merupakan satu program pencarian bakat pengacaraan bidang penyiaran dan komunikasi membabitkan penyertaan dari wakil pelajar dari 36 Politeknik dari seluruh Malaysia yang bermula mulai 24 hingga 27 Julai 2019 yang lalu. Program ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang berketrampilan, petah bicara, bijak, yakin dan berani berkomunikasi bagi menghadapi pasaran kerja dan menjadi warganegara yang holistik, seimbang dan berkualiti.

Edisi ke-3 Poly's Voice yang diadakan baru-baru ini diurusetiakan oleh Politeknik Kuching, Sarawak dengan penganjur utama Malaysia Polytechnics Communication Enhancement Council (MPCEC), Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hadiah kemenangan yang terdiri dari Piala Pusingan, sijil dan wang tunai RM1000.00 telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Zulkifli Mohamad. Turut hadir bersama dalam penyampaian hadiah ialah Wan Zulkifly Wan Zakaria, Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

ARAU - Walaupun bukan Islam, Arwenraj a/l Muniandy berjaya membuktikan bahawa beliau bukan sahaja boleh mempelajari bidang berkaitan Islam tetapi mampu cemerlang dalam bidang itu. Graduan Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) Sesi Disember 2017, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis itu menepis pandangan negatif keluarga dan orang sekelilingnya untuk mempelajari amalan halal yang lazimnya dipelajari oleh pelajar beragama Islam.

"Jurusan yang saya ambil ini adalah pilihan ketiga saya. Pada mulanya saya tidak mendapat restu daripada ibu saya. Tetapi saya membuktikan bahawa saya mampu dan menerima Anugerah Ketua Jabatan setiap semester sepanjang enam semester saya di sini," kata pelajar berusia 22 tahun itu.

Arwenraj, anak sulung daripada tiga beradik ini kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Beliau ditemui Bernama selepas menerima dua anugerah masing-masing Anugerah Khas Akademik dan Anugerah Khas PTSS daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Konvokesyen PTSS kali ke-13 di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seramai 1,168 graduan PTSS menerima Diploma pelbagai jurusan dan 26 orang graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu dalam bidang Sijil Hotel dan Katering pada majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Arau - "Pengetahuan protokol dan penulisan teks ucapan penting dalam menjayakan sesuatu majlis", Roseliza Shaari, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) berkata demikian ketika merasmikan Kursus Protokol dan Penulisan Teks Ucapan mewakili Pengarah PTSS, baru-baru ini di Dewan Cenderawasih, PTSS.

Menurut beliau lagi, pegawai dan pensyarah PTSS perlu diberikan pendedahan mengenai protokol kerana mereka sering terlibat dalam program dan aktiviti yang melibatkan protokol dalam pengurusan majlis. Pandangan sesetengah pihak yang menyatakan protokol sesuatu yang sukar dan menyulitkan adalah tidak tepat kerana apabila individu berkenaan memahaminya, ia boleh diaplikasikan kepada pelbagai bentuk majlis lain. Katanya lagi, penulisan teks ucapan pula penting bagi membolehkan pegawai dan pensyarah menulis teks ucapan yang berkualiti dan bernilai tinggi untuk disampaikan oleh para tetamu kehormat dan juga mengajar pelajar membuat penulisan teks ucapan yang betul agar berkemahiran membuat penulisan teks ucapan yang berkualiti.

Menyedari tentang kepentingan kursus ini diadakan, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kursus ini. Menurut Ahmad Razif Abdul Rashid, "Kursus ini diadakan dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara, Kampus Wilayah Utara, Sungai Petani, Kedah, Unit Protokol, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Institut Perguruan Guru, Perlis." Menurut beliau lagi, kursus ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan yang mendalam kepada Ahli Mesyuarat Pengurusan PTSS dan pensyarah tentang protokol dalam pengurusan majlis sempena Majlis Konvokesyen PTSS kali ke-13 yang akan diadakan penghujung Julai ini.

Salah seorang peserta kursus ini, Nadzri Che Kamis berkata, "Saya telah mendapat pengetahuan yang baru setelah menyertai kursus ini. Sebenarnya protokol bukanlah perkara yang sukar seperti dibayangkan. Sekiranya kita mengetahui prinsipnya, ia dapat diaplikasi dengan mudah dan berkesan dalam menjayakan sesuatu majlis."

Seramai 47 orang pegawai dan pensyarah PTSS terlibat dalam kursus yang telah diadakan ini yang berlangsung selama 2 hari.

Arau - Puteri Farah Diba Natasha Zakaria, pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis memenangi pingat emas dalam Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 yang diadakan baru-baru ini di mana PTSS menjadi tuan rumah sukan berkenaan. Pelajar PTSS ini menyumbang pingat emas melalui kategori middleweight.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan, berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 dan merupakan satu sejarah kerana pertama kalinya pelajar PTSS memenangi pingat emas dan mengharumkan nama PTSS dan juga Negeri Perlis. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai." Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Kontigen PTSS, Bustamam Bonari dan juga jurulatih beliau, Loeonard San Thu dari Majlis Sukan Negeri Perlis kerana dengan usaha mereka PTSS berjaya memenangi pingat emas dalam karnival sukan yang diadakan ini.

Ketua Kontigen PTSS, Bustamam Bonari pula berkata, "Kejayaan PTSS memenangi pingat emas dalam acara ini adalah amat bermakna kepada PTSS kerana inilah julung julung kalinya pasukan PTSS berjaya membawa pulang emas dalam karnival ini."

Puteri Farah Diba Natasha ketika ditemubual berkata, "Saya tidak menyangka akan memperolehi pingat emas dalam karnival sukan ini. Ibubapa dan rakan-rakan serta jurulatih sering memberi sokongan kepada saya hinggalah saya berjaya dan mereka sering menasihati saya jangan mengalah dan perlu mempunyai semangat yang kental untuk berjaya dalam sesuatu kejohanan dan pertandingan yang disertai."

Puteri Farah Diba Natasha merupakan pelajar PTSS dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat Digital ini pernah memenangi beberapa pingat dalam di dalam dan juga di luar negara. Antaranya memenangi pingat emas dalam National Senior Taekwondo Championship 2019, pingat emas dalam 2nd National Circuit Taekwondo dan pingat gangsa dalam 14th Asean Taekwondo Championship di Manila, Filipina. Beliau juga telah terpilih untuk bertanding dalam Sea Games 2019.

Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 adalah anjuran bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bersama dengan PTSS. Penganjuran karnival ini melibatkan dua acara sukan utama iaitu Taekwondo dan Silat Olahraga. Sebanyak 16 kategori acara sukan Taekwondo dan 18 kategori acara sukan Silat Olahraga dipertandingkan melibatkan penyertaan 18 politeknik dan 1 kolej komuniti.

DYTM Tuanku Raja Muda telah berangkat mencemar duli merasmikan penutupan karnival sukan ini juga telah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya menjadi Johan dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Perlis yang telah diadakan sempena Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perlis yang telah diadakan baru-baru ini bertempat di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal melalui kumpulan Enginius telah membentangkan tajuk Green Technology Through Modish Smart Key Box. Pembentangan telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama Nurisah Wahab, Sahrijan Ahmad, Nur Ismalina Haris, Mohammad Najib Ramli, Masniza Yusof, Nazera Dan, Nur Faradiana Rusli dan Mohd Hanafiah Mat Jamlus.

Green Technology Through Modish Smart Key Box ini merupakan satu inovasi yang dibangunkan untuk peti penyimpanan kunci berteknologi selari dengan revolusi industri 4.0 dan selaras dengan empat teras polisi teknologi hijau. Alat ini menggunakan komponen eco friendly, menjimatkan tenaga dan paperless. Teknologi Augmented Reality digunakan menggantikan penggunaan kertas.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini amat bermakna kepada PTSS kerana ini menunjukkan bahawa tenaga pengajar di sini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti lain di Malaysia."

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS dan juga negeri Perlis kerana ini menunjukkan pensyarah politeknik juga mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi terkini." Katanya lagi, "Dengan kemahiran yang dimiliki oleh mereka boleh digunakan untuk membangunkan lebih banyak inovasi baru selaras dengan perkembangan revolusi 4.0."

Minggu Sains Negara yang telah diadakan ini bertemakan "Sains Untuk Kesejahteraan" adalah signifikan dengan kehidupan seharian manusia kerana sains dan teknologi memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat. Memandangkan pembangunan teknologi diperlukan untuk pembangunan negara, adalah sangat penting untuk menyepadukan ilmu sains dan teknologi dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran dan masyarakat. Kadar perkembangan teknologi yang pesat memerlukan pertimbangan yang teliti dan bermakna ke arah teknologi yang mencerminkan perkongsian nilai masyarakat dan persekitaran. Sebanyak 49 kumpulan telah bertanding dalam pertandingan inovasi ini mengikut tiga kategori yang ditetapkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.

Hadiah berupa wang tunai bernilai RM500 dan sijil telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis, Rozieana Ahmad. Turut hadir bersama dalam penyampaian hadiah dan sijil ialah Azman Shah Ismail, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Negeri Perlis.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) menjadi Johan Hafazan dalam Pertandingan Festival Quran Di Hatiku (FAQEH 2.0) 2019 yang berakhir baru-baru ini di Politeknik Mersing, Johor. Pelajar PTSS, Muhammad Fitri Adnan menjadi Johan Hafazan kategori lelaki. Pelajar PTSS ini dari jurusan Diploma Akauntansi  telah menjadi Johan Hafazan dua kali berturut-turut di mana pada FAQEH 2018 beliau juga turut menjadi Johan, semasa pertandingan ini diadakan di Politeknik Merlimau, Melaka.

Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan, berkata, "Ini merupakan pencapaian terbaik pelajar PTSS dalam FAQEH 2.0 2019 dan merupakan satu sejarah kerana telah berjaya menjadi Johan Hafazan dua kali berturut-turut. Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai. Kejayaaan ini turut menunjuk pihak PTSS turut mementingkan pendidikan dalam agama seiring dengan pendidikan dalam TVET." Katanya lagi, "Pendidikan dalam agama adalah penting dalam melahirkan modal insan bertakwa dan bertanggungjawab dalam kerjaya dan kehidupannya nanti."

Pensyarah pengiring, Rosmawati Razak pulak berkata, "Kejayaan PTSS memenangi Johan Hafazan kategori lelaki ini adalah amat membanggakan kerana ini adalah kejayaan kali kedua berturut-turut PTSS memenanginya dan saya amat berterima kasih kepada Muhammad Fitri Adnan kerana berjaya menaikkan imej PTSS di mata umum." Katanya lagi, "Semua pensyarah yang menjadi jurulatih beliau sangat gambira kerana usaha dan latihan yang telah diberikan telah membuahkan kejayaan yang membanggakan."

Muhammad Fitri Adnan ketika ditemubual berkata, "Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi. Saya mengucapkan terima kasih kepada PTSS atas kepercayaan memilih dan menghantar saya mewakili PTSS ke FAQEH 2.0 2019. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pensyarah dan jurulatih atas kesudian berkongsi ilmu." Katanya lagi, "Semoga pada tahun hadapan kejayaan ini akan dapat dikekalkan dan dipertingkatkan."

FAQEH 2.0 2019 diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar Politeknik Malaysia untuk menguji bacaan Al-Quran berlagu dan kemahiran menghafaz Al-Quran demi membudayakan Al-Quran sebagai petunjuk, rujukan dan sebagai panduan dalam amalan seharian kehidupan pelajar. 36 politeknik dari seluruh Malaysia telah menghantar pelajar untuk menyertai pertandingan ini.

Pegawai Daerah Mersing, Asman Shah Abd Rahman mewakili Menteri Besar Johor telah menyampaikan hadiah kepada pemenang. Johan menerima wang tunai RM 300.00, cenderamata berserta sijil. Turut hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia, Haji Mohamad Amin Hamat.

Arau - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) telah berjaya merangkul pingat emas dalam International Learning Innovation Competition 2019 (PIP 2019) yang telah diadakan bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah baru-baru ini di Dewan Muadzam Shah, kampus berkenaan.

Pasukan PTSS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal melalui kumpulan Enginius telah membentangkan tajuk Integrated Learning Through Modish Smart Key Box. Pembentangan  telah dibuat oleh Mohd Zulfabli Hasan bersama Nurisah Wahab, Sahrijan Ahmad, Nur Ismalina Haris, Mohammad Najib Ramli, Masniza Yusof, Nazera Dan, Nur Faradiana Rusli dan Mohd Hanafiah Mat Jamlus.

Integrated Learning Through Modish Smart Key Box ini merupakan satu inovasi yang berupa satu kotak penyimpanan kunci bersistem dan juga merupakan model dan prototaip untuk pelajar semester akhir jadikan ia sebagai satu panduan dalam menghasilkan projek akhir dalam kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Selain daripada berfungsi menyelesaikan masalah kunci di jabatan, produk ini memberi inspirasi kepada mereka dalam menghasilkan produk yang  selari dengan revolusi industri 4.0.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS, Nadzri Che Kamis, "Kemenangan ini menjadi bukti pensyarah PTSS mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti lain di Malaysia dan juga dari luar negara."

Di samping itu, PTSS juga turut memperolehi pingat perak dari penyertaan pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Saiful Mohamed Shuib yang berkolaborasi dengan pensyarah dari Politeknik Hulu Terengganu dan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan dengan inovasi bertajuk Crowd Teaching Source for Travel and Tours Course dan juga pingat gangsa melalui Saiful Mohamed Shuib juga berkolaborasi bersama pensyarah Universiti Malaysia Kelantan dengan inovasi bertajuk Shifting from “Classroom Management” to “Classroom Leadership”.

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, "Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada PTSS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran dan saya mengucapkan terima kasih kepada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS kerana beroleh kemenangan pingat emas dan juga pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti kerana berjaya juga mendapat pingat perak dan gangsa." Katanya lagi, "Saya juga merakamkan ucapan syabas kepada pensyarah-pensyarah yang berkenaan kerana berjaya menaikkan imej PTSS."

PIP 2019 diadakan oleh pihak UUM merupakan satu acara tahunan yang diadakan oleh Pusat Pembelajaran dan Pengajaran UUM yang melibatkan ahli akademik dan pelajar dari seluruh dunia. Pertandingan ini menyediakan platform kepada semua pelajar dan ahli akademik untuk berkongsi inovasi dan kreativiti dalam pembelajaran dan pengajaran. Dalam masa yang sama, pertandingan ini merupakan satu platform untuk mengiktiraf inovasi dan kreativiti yang terbaik yang berjaya dihasilkan oleh mereka. Seramai 300 peserta telah menyertai pertandingan yang diadakan ini.

Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Prof. Dr Husna Awang Hashim dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden. Turut hadir bersama dalam penyampaian pingat dan sijil ialah Prof. Dato' Dr Norzaini Azman, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia.

PENAFIAN

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat dari laman sesawang ini.

Dasar Privasi  •  Dasar Keselamatan

HUBUNGI KAMI

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis

Telefon : 604 988 6200

Faks : 604 988 6300

E-mel : info[at]ptss.edu.my